Anda di sini

Buruh asing didakwa menculik, larikan jururawat

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas pertuduhan menculik dan melarikan seorang jururawat.

Shihar Jamali, 22, dituduh melakukan kesalahan itu bersama dengan dua rakannya, pada 20 Januari tahun ini jam 6.40 pagi, di belakang CIMB Bank, Jalan Gaya, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan dengan denda.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 18 April tahun ini sebagai pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan, ke atas tertuduh selepas mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan diperintahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Azreena memerintahkan kes berkenaan akan disebut semula di hadapan Hakim Indra Hj Ayub.

Dalam mahkamah berasingan, Shihar dikenakan penjara 21 bulan oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun, selepas mengaku bersalah mencuri sebuah kereta Proton Iriz, milik seorang wanita berusia 25 tahun.

Kesalahan didapati dilakukan pada 14 Januari tahun ini jam 12.02 pagi, di hadapan bangunan Show Galery berdekatan Pelabuhan Sabah, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini.

Dianggarkan jumlah nilai kenderaan berkenaan sebanyak RM30,000.

Atas kesalahan itu, Shihar disabitkan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara seingga tempoh tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari sama, pengadu seorang pekerja syarikat penghantaran kargo, mengatakan sebuah kenderaan Proton Iriz dilarikan oleh suspek yang tidak dikenali, di Pelabuhan Sabah.

Siasatan awal, pada 13 Januari lalu, pengadu bersama tiga rakan sekerjanya bertugas menjaga 20 buah kenderaan yang diletakkan di hadapan bangunan Show Galery, berhampiran bangunan Wisma Pelabuhan Sabah.

Semasa pengadu seorang diri bertugas, beliau mengalihkan Proton Kelisa ke hadapan dalam jarak 20 meter, apabila pengadu kembali semula mendapati kereta berkenaan hilang dari kawasan berkenaan.

Ketika rayuan, tertuduh yang bekerja sebagai seorang buruh memohon hukumannya diringankan, kerana isterinya sedang sarat mengandung.

Pegawai Pendakwa Insp Azaman Hamat meminta hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh demi melindungi kepentingan awam.

Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 22 April depan sebagai sebutan semula kes terhadap Shihar yang juga didakwa atas pertuduhan menggunakan dadah. — Bernama

Advertisement