Anda di sini

Tujuh jaga ditahan guna kad pengenalan palsu

Advertisement

Siasatan dapati mereka perolehi kad dari sindiket di Sabah

PUTRAJAYA: Tujuh pengawal keselamatan ditahan dalam Ops ID malam kelmarin kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di Cyberjaya.

Mereka yang berumur antara 30 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi bermula jam 10.30 malam yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya di MCMC Tower 1 & 2, Cyberjaya ketika sedang bertugas di premis berkenaan.

JPN dalam kenyataan semalam berkata ketika di lokasi, pengawal keselamatan itu mendakwa mereka berasal dari Sabah dan merupakan anak jati negeri itu.

“Siasatan ke atas kesemua kad pengenalan yang digunakan mendapati ianya adalah palsu,” tambah kenyataan itu.

Menurut JPN, siasatan mendapati mereka mendapatkan kad pengenalan itu melalui sindiket di Sandakan, Sabah dengan bayaran sebanyak RM500 untuk setiap satu.

Kenyataan itu menambah, siasatan lanjut ke atas kesemua pengawal keselamatan terbabit mendapati enam daripadanya mengaku berasal dari Basilan, Filipina manakala seorang mengaku berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia.

Menurut JPN, kesemua pengawal keselamatan itu ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. — Bernama

Advertisement