Anda di sini

Lima blok rumah kongsi musnah

Advertisement

 Penghuni rumah kongsi Syarikat Kosinar sempat menyelamatkan sebahagian daripada barang mereka.

SEMPAT DISELAMATKAN: Penghuni rumah kongsi Syarikat Kosinar sempat menyelamatkan sebahagian daripada barang mereka.

KENINGAU: Lima blok bangunan papan dua tingkat yang merupakan rumah kongsi pekerja Syarikat Kosinar, musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula jam 2.30 petang Ahad lepas.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Mudi Pangiran berkata jabatan menerima panggilan jam 2.35 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 3.15 petang dengan dua jentera serta 18 anggota. Jarak tempat kejadian dari pekan Keningau ialah 47 kilometer.

Katanya, anggota bomba turut dibantu tiga anggota pasukan Bomba Sukarela dari daerah Nabawan.

“Lima blok bangunan yang terbakar berkeluasan 30×100 meter persegi. Seramai 300 pekerja yang tinggal di blok berkenaan bersama ahli keluarga hilang tempat tinggal,” katanya.

Mudi berkata tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata maklumat kebakaran itu diterima Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau jam 2.45 petang.

“Punca kebakaran belum dikenal pasti. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba pada jam 6 petang. Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Douglas menasihat orang ramai agar sentiasa berhati-hati pada musim kemarau ini, tambahan pula daerah ini mengalami cuaca panas sejak beberapa hari lalu.

 

 

Advertisement