Anda di sini

Lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal dalam dua kes kebakaran

Advertisement
 Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran yang berlaku di Semporna kelmarin.

MARAK: Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran yang berlaku di Semporna kelmarin.

SEMPORNA: Lebih 100 penduduk di dua kampung di sini hilang tempat tinggal akibat dua kes kebakaran berasingan dalam tempoh 24 jam yang memusnahkan 14 rumah.

Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bullah berkata, kebakaran pertama berlaku kira-kira jam 3 petang di Kampung Bubul melibatkan tiga buah rumah yang didiami lebih 30 penghuni.

“Kebakaran kedua berlaku kira-kira jam 3.45 petang tadi (kelmarin) di Kampung Mesra Zon Simunul membabitkan 11 rumah yang dihuni 18 keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini kelmarin.

Beliau berkata setakat ini, laporan semasa menunjukkan sebanyak empat keluarga mangsa kebakaran terdiri daripada warga tempatan, sementara baki yang lain adalah warga asing.

Menurut Chacho, dalam kes kebakaran kedua sebuah kereta hangus namun tiada kes kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

“Kita galakkan kesemua mangsa menumpang di rumah keluarga masing-masing,” katanya sambil menambah, penempatan sementara turut dibuka di Dewan Terbuka Kampung Simunul, bekas penempatan sementara mangsa kebakaran Kampung Simunul pada 2014.

Katanya, keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya Datuk Ramlee Marhaban yang segera turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa terlibat amat dihargai pihaknya.

Beliau turut menghargai tindakan pantas bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, kakitangan Pejabat Daerah dan Majlis Daerah dalam menangani kes kebakaran yang berlaku.

“Pada Mesyuarat Tindakan Daerah yang saya pengerusikan pagi tadi (kelmarin), saya sudah menyatakan supaya semua penduduk berhati-hati dan tidak lalai dengan sebarang kemungkinan musibah yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohammad Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.29 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 3.35 petang.

Menurutnya, setakat jam 5 petang pasukan bomba masih menjalankan operasi pemadaman bara-bara api.

Selain itu katanya, tiada kemalangan jiwa yang melibatkan mangsa dilaporkan dalam kebakaran terbabit.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata pihaknya membantu memberi perlindungan awal kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata, seramai 12 anggota JPAM termasuk seorang pegawai turut terlibat membantu di lokasi kejadian.

 

 

Advertisement