Anda di sini

Dua kes terbaharu strok haba dilaporkan

Advertisement
 Dr Subramaniam (hadapan, tengah) bergambar bersama para delegasi ASEAN pada majlis pelancaran Pusat Penilaian Risiko bagi Keselamatan Makanan ASEAN di Putrajaya, sema-lam. Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh (hadapan,empat kanan). — Gambar Bernama

BUAT KENANGAN: Dr Subramaniam (hadapan, tengah) bergambar bersama para delegasi ASEAN pada majlis pelancaran Pusat Penilaian Risiko bagi Keselamatan Makanan ASEAN di Putrajaya, sema-lam. Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh (hadapan,empat kanan). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menerima 29 laporan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas melampau termasuk dua kes terbaharu strok haba, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata kes terbaharu strok haba itu masing-masing dilaporkan di Kedah dan Perak dan dengan ini menjadikan jumlah kes strok haba kepada lima setakat ini.

Katanya sebelum ini dua kes strok haba dilaporkan di Selangor manakala satu kes di Johor melibatkan kematian pesakit.

“Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar mengelak melakukan aktiviti di luar bangunan dan aktiviti fizikal intensif terutamanya pada siang kerana kebanyakan kes strok haba dan keletihan strok berpunca daripada aktiviti fizikal intensif,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Penilaian Risiko bagi Keselamatan Makanan ASEAN di sini semalam.

Minggu lepas, seorang pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat strok haba setelah pitam semasa menjalani latihan di trek padang tertutup.

Ketika diminta mengulas laporan bahawa Britain akan memperkenalkan levi gula bagi minuman ringan dalam tempoh dua tahun lagi, Dr Subramaniam berkata kajian terperinci perlu dilakukan termasuk dari segi bukti saintifik sekiranya levi gula mahu diperkenalkan di negara ini.

“Sekiranya hasil kajian mendapati ia akan mengurangkan penggunaan gula, dengan itu kerajaan boleh pertimbangkan, dan kerajaan boleh kenal pasti tahap yang perlu dikenakan cukai. Tidak guna mengenakan cukai tetapi penggunaan gula tidak berkurangan, sebaliknya meningkat,” katanya.

Secara keseluruhannya, Dr Subramaniam berkata kesedaran tentang tahap pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia telah mencatatkan peningkatan ketara dengan pengambilan gula semakin berkurangan berbanding sebelum ini kecuali bagi minuman ringan. — Bernama

 

Advertisement