Anda di sini

Masjid Darul Hana miliki keistimewaan tersendiri

Advertisement

Bernilai RM28j, ia masjid pertama di S’wak mempunyai ruang legar khas untuk upacara akad nikah

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

 Masjid Darul Hana akan dirasmi oleh Tun Taib pada 15 April depan.

INDAH: Masjid Darul Hana akan dirasmi oleh Tun Taib pada 15 April depan.

KUCHING: Masjid Darul Hana Kampung Seberang Hilir di sini, yang bernilai RM28 juta bakal menjadi masjid pertama di Sarawak yang mempunyai ruang legar khas untuk upacara akad nikah bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Menurut Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, ruang legar di masjid tersebut direka khusus dengan hiasan batu marmar dan arca yang bersesuaian bagi menampakkan keindahan suasana majlis akad nikah.

“Mengikut agama Islam, seperti yang dirujuk dengan mufti kita (Datu Kipli Yassin), adalah afdal melakukan akad nikah di rumah Allah (masjid).

“Justeru, ruang legar di hadapan pintu masuk menuju ke dewan utama masjid (Masjid Darul Hana) ini adalah fleksibel dan ia disediakan untuk tujuan akad nikah. Ini sememangnya yang pertama di negeri (Sarawak) ini,” katanya sambil menambah, kos pembinaan masjid itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Masjid Darul Hana yang merupakan masjid di bawah pengurusan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di sini, semalam.

Katanya masjid itu akan dirasmikan pada 15 April (Jumaat) oleh Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sekali gus menunaikan solat jumaat pertama beramai-ramai di masjid tersebut pada hari berkenaan.

Abang Johari yang juga merupakan Menteri Pelancongan berkata, masjid tersebut mampu menampung kira-kira seramai 3,200 jemaah manakala dewan utamanya pula mampu menampung seramai 1,600 jemaah dalam satu masa.

“Pembinaan Masjid Darul Hana ini merupakan binaan pertama bagi pembangunan Darul Hana di mana ia adalah satu pembangunan yang agak besar dan pertama di seluruh Sarawak.

“Pembangunan ini melibatkan pembangunan semula perkampungan Seberang Hilir untuk menjadi sebuah perkampungan moden dalam keluasan tapak tanah kira-kira 1,000 ekar.

“Malah, dengan siapnya Darul Hana kelak, ia memberi gambaran perubahan landskap kepada rakyat Kuching khasnya penduduk Kampung Seberang Hilir yang terlibat,” katanya.

Jelasnya, dalam masa seminggu dari sekarang, kerja-kerja membersih pekarangan masjid dan menanam bunga akan bermula dan seterusnya memulakan aktiviti pembersihan sebagai persiapan perasmian yang dijadual April kelak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengurus Besar PELITA Datu Dr Sulaiman Husaini dan ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Advertisement