Anda di sini

Isteri dikelar, suami terdengar bisikan halus

Advertisement

Mangsa maut dikelar dengan pisau dan ditikam menggunakan gunting beberapa kali

JOHOR BAHARU: Seorang wanita mati dikelar suaminya yang dipercayai terdengar bisikan halus untuk membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah kampung di Kangkar Tebrau, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata sebelum kejadian, wanita berusia 43 tahun itu dipercayai bergaduh dengan suaminya tanpa diketahui punca pergaduhan itu.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.26 petang kelmarin yang melaporkan “ada orang terbaring berdarah macam kena bunuh”.

“Siasatan awal mendapati jiran mangsa telah mendengar pergaduhan di rumah mangsa sekitar jam 10 pagi. Pergaduhan disyaki antara suami (suspek) dan isteri (si mati) tanpa tidak diketahui puncanya.

“Bagaimanapun, jiran menganggap ia hanya pertengkaran biasa antara suami isteri dan tidak menghiraukan insiden tersebut,” kata Sulaiman dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata anak sulung mangsa berusia sembilan tahun yang pulang dari sekolah pada jam 2 petang, ternampak mangsa tertiarap di ruang tamu rumah dan dipercayai telah meninggal dunia.

Pelajar itu kemudian diberitahu oleh adiknya yang berusia lima tahun bahawa ibu mereka bergaduh dengan suspek pada sebelah pagi dan dia melihat suspek menikam mangsa menggunakan gunting.

Anak sulung mangsa kemudian membawa adiknya ke rumah nenek mereka yang terletak lebih kurang 20 meter dari tempat kejadian dan memaklumkan perkara ini kepadanya, kata Sulaiman.

Beliau berkata terdapat luka hasil kelaran pada leher dan tikaman pada dada kiri serta beberapa tikaman di bahagian belakang.

“Berdasarkan pengamatan, mangsa telah dikelar dahulu sebelum ditikam beberapa kali di bahagian badan mangsa,” kata Sulaiman.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan suspek berusia 35 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit, pada jam 3 petang di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda, lebih kurang 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek telah membuat pengakuan awal membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau yang telah dicuci dan diletakkan di dapur tempat kejadian. Suspek juga mengaku menikam isterinya dengan menggunakan gunting,” kata beliau.

Polis mendapati motif utama suspek melakukan perbuatan itu kerana dipercayai mendengar bisikan-bisikan halus untuk membunuh isterinya, kata Sulaiman.

Suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga 27 Mac ini. — Bernama

Advertisement