Anda di sini

RM20 juta laksana program MSI tahun ini

Advertisement

TUARAN: Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksanakan program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) pada tahun ini.

Menterinya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata MSI adalah dana bagi membantu kumpulan sasar melalui pembangunan atau pelaksanaan idea sama ada berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial komuniti.

Pada tahun lepas, katanya, MOSTI telah membiayai 77 projek MSI melibatkan 16 agensi yang bertindak sebagai penyedia teknologi bagi projek terpilih.

“Tidak hanya berinovasi dalam bidang teknologi, kita juga mahu berinovasi sosial, iaitu bagaimana mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat menerusi produk inovasi yang dihasilkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Sangkar Sembelihan Mudah Alih kepada Masjid An-Nur, di sini semalam.

Madius berkata sangkar sembelihan mudah alih dikendalikan Yayasan Inovasi Malaysia itu adalah idea seorang inovator dari Perlis yang telah menghasilkan pengganti teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau kepada teknik lebih mudah, cepat dan terurus.

“Menerusi program MSI ini, penggunaan atau kemudahannya juga dapat dinikmati komuniti lain di seluruh negara,” katanya sambil menambah sangkar sembelihan itu juga telah diserahkan ke beberapa kawasan termasuk di Kuching, Sarawak.

Madius berharap inovator yang berminat akan memberi tumpuan menghasilkan projek yang memberi penyelesaian kepada masalah komuniti bagi membantu proses transformasi negara selain mahu masyarakat menyokong lapangan inovasi sosial untuk kepentingan bersama.

Pada majlis sama, Madius turut menyerahkan satu lagi produk inovasi MSI iaitu Kompang X-Ray kepada pengurusan masjid dan beberapa kumpulan belia di sekitar Tuaran. — Bernama

Advertisement