Anda di sini

Pengikrar sumsum tulang masih kurang

Advertisement
 Kogilavani (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Christina.

TERIMA KASIH: Kogilavani (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Christina.

Amat sukar mendapatkan HLA, orang ramai digalak jadi pengikrar penderma sukarela

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berharap forum Kesedaran Pendermaan dan Pemindahan Sel Stem (sumsum tulang) akan menggalakkan lebih ramai yang menjadi pengikrar penderma sukarela.

Buat masa ini katanya, Sabah masih kekurangan penderma dan amat sukar untuk mendapatkan Human Leukocyte Antigen (HLA) yang sepadan daripada penderma yang tidak berkaitan dengan pesakit.

“Tujuan pemindahan sel stem ini adalah untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang mempunyai penyakit yang berkaitan dengan darah seperti leukemia, aplastic anaemia dan thalasaemia.

“Justeru penderma sel stem amat penting untuk memberikan peluang kedua kepada sekumpulan pesakit ini,” katanya pada ucapan perasmian forum itu di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Menurut Christina, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas telah memulakan pemindahan sel stem pada tahun 2014 dan sehingga kini seramai 10 pesakit menjalani pemindahan sel stem.

“Sebelum tahun 2014, pesakit terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemindahan sel stem darah.

“Oleh itu, pihak HWKK akan meneruskan perkhidmatan ini dan memperluaskan khidmat kepada pemindahan sel stem darah, terutamanya dari penderma yang tidak mempunyai pertalian keluarga,” katanya.

Dalam kes itu katanya, Sabah masih kekurangan penderma dalam kalangan penderma yang tidak mempunyai pertalian darah dengan pesakit.

Sementara itu, pengerusi penganjur yang juga Pakar Pediatrik Haemato-Onkologi HWKK Sabah, Dr Kogilavani Gunasagaran berkata, forum yang julung kali diadakan di Sabah itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pemindahan sel stem.

Katanya, orang ramai yang ingin mendaftar sebagai penderma sukarela boleh mengunjungi wad pemindahan sel stem di HWKK pada waktu bekerja seperti biasa.

Advertisement