Anda di sini

FAMA akan import sayur-sayuran jika bekalan tempatan tidak cukup

Advertisement

ALOR SETAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengimport sayur-sayuran sekiranya bekalan tempatan tidak cukup untuk menampung permintaan.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata setakat ini bekalan sayur-sayuran tempatan masih mencukupi walaupun fenomena El Nino melanda negara sejak Januari lepas.

“Setakat ini bekalan kita peroleh dari Cameron Highlands, Sabah dan Sarawak dan ia cukup untuk dipasarkan kepada pengguna di seluruh negara. Kita sentiasa memantau bekalan tersebut cukup bagi memastikan kestabilan harga,” katanya ketika hadir pada majlis persaraan kakitangan FAMA Wilayah Utara, semalam.

Badruddin berkata terdapat sejumlah 12,140.56 hektar (30,000 ekar) ladang kontrak FAMA di seluruh negara yang diusahakan dengan pelbagai tanaman untuk dipasarkan di pasar tani.

Katanya FAMA turut bersedia dengan rancangan kecemasan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan berdasarkan pengalaman yang dilalui sebelum ini akibat bencana alam dan cuaca panas.

Sementara itu, beliau berkata FAMA akan menyiapkan sepuluh lagi MyFarm Outlet Kasih di seluruh negara hujung November ini dengan menyediakan pelbagai keperluan kepada rakyat pada harga yang berpatutan. — Bernama

Advertisement