Anda di sini

Empat negeri catat bacaan suhu tertinggi pada Sabtu

Advertisement
 Dua pelajar, Muhammad Muis Mohd Nasir, 8, (kanan) dan abangnya Muhammad Akmal, 11, menimkati aiskrim dalam keadaan cuaca panas ketika tinjauan fotoBERNAMA di Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Mukim Lepai, dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

DAHAGA: Dua pelajar, Muhammad Muis Mohd Nasir, 8, (kanan) dan abangnya Muhammad Akmal, 11, menimkati aiskrim dalam keadaan cuaca panas ketika tinjauan fotoBERNAMA di Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Mukim Lepai, dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

Keempat-empat lokasi catat suhu hampir 40 darjah Celcius

TUARAN: Empat negeri di Semenanjung merekodkan bacaan suhu paling tinggi semala, berikutan fenomena El Nino yang melanda negara sekarang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau berkata berdasarkan bacaan yang direkodkan sehingga jam 4 petang, Chuping di Perlis mencatat bacaan suhu paling tinggi iaitu 39.5 darjah Celcius diikuti Alor Setar di Kedah yang mencatat 39.1 darjah celcius.

Turut mencatat bacaan suhu tertinggi ialah Ipoh di Perak dengan 37.5 darjah Celcius dan Temerloh di Pahang dengan bacaan suhu 37.4 darjah Celcius.

“Bacaan suhu ini sudah menghampiri 40 darjah Celcius iaitu bacaan suhu berbahaya dan boleh menyebabkan strok haba,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sangkar sembelih mudah alih dan kompang sinar x kepada penduduk sekitar Tuaran di sini, semalam.

Madius berkata kementerian akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dan berkongsi data terkini mengenai perkara itu untuk perhatian dan tindakan kementerian lain dalam menghadapi musim panas itu.

Di KOTA BAHARU, cuaca panas dan kering berikutan fenomena El Nino dikhuatiri menjejaskan hasil pengeluaran tanaman ladang kontrak di negeri ini, kata Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan Fauzi Mohamed.

Beliau berkata ini kerana tanaman seperti sayur-sayuran, jagung dan buah-buahan memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Pihak kami bergantung kepada sungai dan tali air untuk membekalkan air ke setiap ladang kontrak. Setakat ini, bekalan air mencukupi dan tidak membimbangkan,” katanya.

Pihaknya juga memantau beberapa kawasan ladang kontrak yang dijangka menerima kesan akibat cuaca panas melampau, jika ia berterusan, katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani Perjanjian dan Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak Ke Outlet Peruncitan (KUKUH) FAMA Kelantan di sini, semalam.

Pada majlis itu, FAMA memeterai perjanjian dengan 129 peserta dari 300 ladang kontrak untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. — Bernama

Advertisement