Anda di sini

Naik taraf empangan, loji air di Kampung Wallace Bay

Advertisement

Loji air perlu diperbesar untuk tampung keperluan penduduk

TAWAU: Kerajaan diminta supaya menaik taraf empangan dan loji penapisan air di Kg. Wallace Bay Pulau Sebatik, demi menampung keperluan penduduk di pulau berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Abdul Muis Picho berkata, loji air berkenaan perlu diperbesarkan dan didalamkan lagi agar ia berupaya menampung isipadu air untuk tempoh enam hingga lapan bulan, walaupun tanpa hujan.

“Kita berharap Jurutera Air Tawau dapat segera membuat kajian tentang perkara ini kerana ini adalah keperluan mendesak bagi penduduk.

“Ketika ini, air di loji ini dilihat kering akibat ketiadaan hujan dan penduduk tidak mendapat bekalan air,” katanya.

Dengan penaikan taraf itu kelak katanya, ia pasti memberi manfaat besar kepada masyarakat, bukan sahaja semasa musim kemarau, tetapi juga kepada enam buah kampung lain di pulau itu yang masih belum menerima bekalan air bersih.

“Ketika ini loji air ini hanya membekalkan air besih kepada lapan buah kampung dan terdapat enam buah kampung lagi yang masih belum menerima bekalan air bersih.

“Oleh itu, jika loji ini dinaik taraf kelak, kita berharap enam buah kampung ini akan turut mendapat bekalan air bersih, apabila jalan perhubungan ke kampung-kampung berkenaan siap dibina,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas melakukan lawatan kerja meninjau loji air terawat di pulau berkenaan yang kering akibat kemarau.

Hadir sama ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus @ Mohd Ali Sipil, Jurutera Air Tawau Bahrin Antonio, Naib Ketua UMNO Kalabakan Ismail Ait, Setiausaha UMNO Kalabakan Mohd Ayaz Khan serta pemimpin akar umbi di Pulau Sebatik.

Sementara itu, Alijus dalam kenyataannya pula berkata, beliau akan membawa isu keperluan menambah baik empangan dan loji air di pulau berkenaan ke Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.

Beliau akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri bagi tujuan menghantar air bersih dari bandar Tawau ke Pulau Sebatik semasa musim kemarau ini.

Selain itu, pihaknya juga akan meminta agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Hutan dan Jabatan Air agar mengawal ketat kawasan tadahan air bagi memastikan ia tidak dicerobohi.

Dalam lawatan kerja berkenaan, Setiausaha UMNO Kalabakan Ismail Ait, turut menyampaikan agihan 500 kotak air mineral kepada penduduk, hasil sumbangan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Advertisement