Anda di sini

Malaysia komited kurangkan pengeluaran co2

Advertisement

Tangani perubahan iklim dengan laksanakan pembangunan lebih lestari dan mesra alam

 Najib (empat kanan) mendengar penerangan daripada Pengerusi BHS Industri Berhad, Datuk Shohaimi Shahdan (tiga kanan) ketika melihat replika Taman Teknologi Hijau Pekan, ketika pelancaran semalam. — Gambar Bernama

FOKUS: Najib (empat kanan) mendengar penerangan daripada Pengerusi BHS Industri Berhad, Datuk Shohaimi Shahdan (tiga kanan) ketika melihat replika Taman Teknologi Hijau Pekan, ketika pelancaran semalam. — Gambar Bernama

PEKAN: Malaysia komited untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida (CO2) sebanyak 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam usaha menangani perubahan iklim dan pemanasan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setakat ini, negara telah mencapai tahap 33 peratus, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara terbaik di dunia yang berjaya mengurangkan CO2 dalam pembangunannya.

“Kerajaan sehingga kini membiayai sebanyak 200 projek teknologi hijau di seluruh negara yang melibatkan kos sebanyak RM2.6 bilion sebagai komitmen negara mengurangkan masalah perubahan cuaca.

“Komitmen ini saya nyatakan semasa Sesi Ke-15 Pihak-Pihak ke Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen (2009) (COP15) untuk mengurangkan 40 peratus CO2 menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Taman Teknologi Hijau, Paloh Hinai di sini, semalam. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lee Chee Leong,  Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Pengerusi BHS Industries Datuk Sohaimi Shahadan.

Perdana Menteri berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan turut memperuntukkan RM2.3 billion bagi melaksanakan pembangunan teknologi hijau di negara ini dan berharap ia turut dibantu pihak swasta sebagai enjin pelaksanaan.

“Kita berada dalam keadaan cuaca yang sangat panas dan masalah gelombang haba. Ini bermakna soal perubahan cuaca adalah satu realiti yang kesannya sedang menimpa kita sama ada kemarau yang membawa cuaca yang terlalu panas atau banjir yang membawa kepada kenaikan paras air.

“Sudah tentu ia memerlukan usaha di peringkat global untuk menangani perubahan iklim dengan melaksanakan pembangunan yang lebih lestari dan mesra alam,” katanya.

Najib turut memuji BHS Industries di atas usahanya membangunkan teknologi hijau menerusi pembinaan Taman Teknologi Hijau Paloh Hinai yang memberi impak positif terhadap alam selain merancakkan ekonomi di Pekan amnya dan Pahang khasnya.

Najib berkata pembangunan projek tujuh fasa itu akan dilaksana dalam tempoh lapan tahun di kawasan seluas 151.7 hektar, yang melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM1.5 bilion dan mampu mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan termasuk Orang Asli.

“Pembangunan yang bakal wujud ini akan menggunakan bahan buangan daripada ladang kelapa sawit, yang selama ini dianggap sebagai satu tanaman ajaib.

Segala bahan yang ada padanya seperti buah, pelepah dan bahan buangannya boleh mendatangkan hasil kepada kita.

“Inilah rahmat yang Tuhan beri kepada kita kerana di Paloh Hinai, Gugusan Chini, Pekan dan Keratong mempunyai banyak kawasan FELDA, dan pihak swasta boleh mengambil sisa tanaman ini untuk dijadikan bahan input sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada peneroka,” katanya.

Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Najib berkata beliau turut teruja dengan pembangunan itu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk maju pada masa akan datang.

Fasa pertama projek itu akan dimulakan April ini dengan melibatkan pembinaan kilang kertas berasaskan bahan buangan kelapa sawit, yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2017. — Bernama

Advertisement