Anda di sini

El Nino: MOA akan pantau sektor pertanian tentukan bentuk bantuan

Advertisement

KEMAMAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi menentukan bentuk bantuan yang akan diberi kepada para petani dan penternak yang terjejas akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia sebagai langkah jangka pendek bagi membantu para petani dan penternak mengatasi kerugian selepas ternakan dan tanaman mereka mati akibat fenomena tersebut.

Katanya, pihaknya ketika ini belum menentukan bentuk bantuan yang akan diberikan walaupun menerima laporan daripada petani dan penternak seluruh negara yang mengalami kerugian akibat cuaca panas tersebut.

“Kami memang ada menerima laporan dari seluruh negara tentang kerugian yang terpaksa ditanggung para petani dan penternak yang tanaman dan ternakan mereka mati akibat cuaca panas yang disebabkan oleh fenomena El Nino.

“Buat masa ini kami mengarahkan pelbagai agensi untuk memantau jumlah kerugian yang dialami para petani dan penternak dan akan menentukan sama ada bantuan yang akan diberi nanti akan digunakan daripada tabung kecemasan atau tabung bencana di bawah kementerian,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Transformasi Orang Muda (TOM) dan melancarkan Amalan Penternakan Lembu Hibrid Sado di Kemaman Waterfront di sini semalam.

Kelmarin MOA dalam kenyataan mengumumkan 13 langkah yang perlu diambil sektor agro makanan bagi menangani kesan fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini.

Ini termasuk pembinaan kira-kira 200 telaga tiub untuk tanaman padi di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak.

Selain itu 1,718 pam bergerak berkapasiti 85 hingga 140 liter sesaat akan digunakan di samping menaik taraf kolam takungan sedia ada dan pembinaan ‘screw pump’ yang baharu serta membangunkan Projek Pemindahan Air Jeniang, Kedah dengan kos projek sebanyak RM455 juta. — Bernama

Advertisement