Anda di sini

Larangan pengambilan pekerja asing perlu dimanfaat rakyat tempatan

Advertisement

MARAN: Larangan pengambilan pekerja asing baharu untuk semua sektor pekerjaan di negara ini kecuali pembantu rumah, perlu dimanfaatkan rakyat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata ditambah dengan skim gaji minimum yang dilaksanakan, ia akan membolehkan rakyat menikmati gaji lebih baik dalam sektor yang didominasi pekerja asing sebelum ini.

“Kita ada skim gaji minima antara lain bertujuan menggalakkan pekerja tempatan bekerja… kalau pekerja asing boleh terima gaji itu, kenapa kita tidak boleh.

“Sepanjang tahun lepas sahaja pekerja asing menghantar sebanyak RM34.75 juta ke negara masing-masing dan jika rakyat tempatan mengambil alih pekerjaan yang selama ini dimonopoli pekerja asing, kita akan dapat menjimatkan pengaliran wang keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 Parlimen Maran di sini semalam.

Ismail berkata penjimatan itu akan membolehkan kerajaan menggunakan wang berkenaan untuk melakukan lebih banyak pembangunan bagi faedah rakyat di negara ini.

Faktor gaji yang terlalu murah berbanding bebanan kerja yang ditanggung menjadi punca sektor seperti perladangan dan perindustrian kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan sebelum ini.

“Negara mempunyai bilangan tenaga pekerja yang cukup dan tidak memerlukan pengambilan pekerja asing, tetapi disebabkan gaji murah rakyat tempatan kurang berminat bekerja berbanding pekerja asing yang memerlukan pekerjaan dan pendapatan biar pun gajinya murah,” katanya.

Ismail berkata negara mempunyai seramai 14 juta pekerja yang terlibat dalam pelbagai sektor awam dan swasta manakala sebanyak 2.1 juta tenaga kerja asing berdaftar mengisi pekerjaan dalam sektor perladangan dan perindustrian.

Pada masa sama, dianggarkan terdapat seramai dua juta pekerja asing yang tidak berdaftar bekerja secara haram di negara ini sehingga membolehkan mereka menghantar sebanyak RM34.75 juta sepanjang tahun lepas. — Bernama

Advertisement