Anda di sini

Gabungan ngo serah memorandum bantah deklarasi Mahathir

Advertisement
 Jamal (tengah) bersama wakil-wakil NGO hadir di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyerahkan memorandum Deklarasi Menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan menolak Deklarasi Rakyat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Pakatan Pembangkang kepada Mahathir di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

MENOLAK DEKLARASI: Jamal (tengah) bersama wakil-wakil NGO hadir di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyerahkan memorandum Deklarasi Menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan menolak Deklarasi Rakyat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Bersama Pakatan Pembangkang kepada Mahathir di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Lebih 500 anggota gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berhimpun di luar pagar Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8 di sini semalam bagi menyerahkan memorandum membantah deklarasi yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Cuaca panas terik pada kira-kira jam 3 petang yang menyebabkan ramai bermandi peluh, tidak menghalang mereka yang terdiri daripada masyarakat Malaysia berbilang bangsa dan pelbagai peringkat umur, untuk berhimpun kira-kira sejam.

Turut kelihatan di hadapan pagar Yayasan Kepimpinan Perdana ialah anggota dan pegawai polis beruniform dan berpakaian preman yang memantau bagi memastikan keadaan terkawal.

Selain berhimpun, anggota NGO berkenaan turut memegang pelbagai sepanduk bertulis ‘Undur Mahathir Undur’, ‘Mahathir Bersekongkol Dengan Pembangkang’ , ‘Mahathir Khianati Perjuangan UMNO’,’Kami Tolak Deklarasi Rakyat’ dan ‘Mahathir Kembali Ke Pangkal Jalan.’

Mereka yang berhimpun, tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana dengan menaiki beberapa buah bas, kereta dan menunggang motosikal secara berkumpulan.

Memorandum membantah deklarasi Mahathir itu diserahkan oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos kepada Penolong Pegawai Khas Dr Mahathir, Muhamad Fazil Saad.

Jamal ketika bercakap kepada pemberita, berkata gabungan NGO-NGO Malaysia membantah dan menolak deklarasi Mahathir yang tiada asas kepentingan rakyat dan negara.

“Gabungan NGO-NGO Malaysia juga berikrar untuk bersama kepimpinan negara Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, diketuai Tun Dr Mahathir. — Bernama

Advertisement