Anda di sini

MyTadika tingkatkan pengurusan, pendidikan prasekolah dan tadika swasta

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan program MyTadika pada Mei ini, untuk memantau dan meningkatkan kualiti pengurusan dan pendidikan prasekolah dan tadika swasta di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta Ahmad Lotfi Zubir berkata  sebuah pasukan petugas terdiri 15 pegawai kementerian, akan bekerjasama dengan 120 pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara untuk mengawal selia prasekolah dan tadika daripada semua aspek termasuk pengurusan, penyampaian kurikulum, keselamatan dan kesihatan.

“Pegawai-pegawai pasukan petugas akan turun padang dan membuat pemantauan dan membimbing pengusaha meningkatkan kualiti pengurusan dan pendidikan agar mematuhi sekurang-kurangnya tahap minimum ditetapkan SKPK (Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan),” katanya.

Terdapat 7,283 buah prasekolah dan tadika swasta berdaftar di seluruh negara pada masa ini.

“Ia bukan kerja mudah untuk pasukan petugas, namun kami berharap pasukan ini akan mewujudkan hubungan baik dan pada masa sama sampaikan maklumat terkini bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal di negara ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ahmad Lofti berkata Kementerian Pendidikan juga akan melaksanakan penilaian kendiri SKPK secara dalam talian untuk memantau dan menambahbaik kualiti prasekolah dan tadika swasta.

SKPK yang dilaksanakan sejak tahun lepas, mempunyai lima domain iaitu kualiti pengurusan prasekolah, kualiti guru prasekolah, kualiti dalam melaksanakan kurikulum standard prasekolah kebangsaan, kualiti prasekolah dan kerjasama ibu bapa serta kualiti keselamatan, kesihatan dan pemakanan, katanya.

Memberikan contoh pada tahun lepas, beliau berkata 5,540 daripada 6,298 prasekolah dan tadika mengisi SKPK, dan 21 peratus daripadanya gagal mencapai tahap minimum.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan berharap pengusaha prasekolah dan tadika swasta supaya mengisi SKPK bagi membolehkan kementerian membuat pemantauan dan penambahbaikan kualiti dari semasa ke semasa,” katanya.

Dengan penilaian kendiri, beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Pengasuhan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) untuk membantu pengusaha prasekolah dan tadika dalam meningkatkan kualiti dari segi pengurusan dan kurikulum.

Ahmad Lofti berkata Kementerian Pendidikan, Majlis ECCE dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) akan menganjurkan siri jelajah forum di tiga lokasi – Kuala Lumpur (26 Mac), Kuching, Sarawak (23 April) dan Kota Kinabalu, Sabah (30 April) untuk menerangkan instrumen penilaian SKPK.

“Pendidik prasekolah dan tadika akan memahami SKPK dan domain yang terkandung selain didedahkan tatacara untuk mengakses instrumen ini secara dalam talian bagi menggunakannya dengan berkesan untuk mengukur dan meningkatkan kualiti prasekolah mereka,” katanya.

Kementerian Pendidikan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional tahun ini, untuk 910,378 kanak-kanak menerima pendidikan di prasekolah di bawah kementerian termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan juga institusi pendidikan swasta.

Kategori swasta dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada enrolmen prasekolah sebanyak 52 peratus atau 479,397 murid daripada KPI nasional, dan sehingga 14 Mac, 247,626 murid atau 27.2 peratus enrolmen murid dicapai.  — Bernama

Advertisement