Anda di sini

Mekanisme terbaik diperlukan untuk penuhi keperluan tenaga kerja industri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan mekanisme baharu dalam menyediakan tenaga kerja tempatan untuk industri yang terjejas berikutan pemberhentian pengambilan pekerja asing baharu yang diputuskan kabinet baru-baru ini.

Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) berkata pihak industri terutama kontraktor dan pelabur kini berdepan masalah tenaga kerja terutamanya dalam sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.

“Kita hentam dan buat jenaka pasal 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh tak jadi dibawa masuk sedangkan ramai kontraktor dan pelabur yang mengadu sukar untuk mendapat pekerja apabila kemasukan buruh warga asing ini dibekukan.

“Yang minta tu, orang Malaysia, orang kita, pengundi juga. Bayangkan kalau seorang kontraktor itu dapat projek dan dia perlukan 100 pekerja tempatan, mana dia nak cari,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Katanya kementerian bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif menyediakan platform untuk memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan tenaga kerja tempatan.

“Kekosongan itu seharusnya diisi oleh tenaga kerja tempatan, ramai belia di kampung-kampung tak ada kerja, sedangkan kemahiran dan kursus disediakan kerajaan. Kenapa tidak dibuat satu sistem bila kontraktor atau pelabur perlukan pekerja tempatan, mereka boleh pergi ke satu tempat dan dapatkan pekerja ini dengan mudah,” katanya.

Zahidi berkata berbilion ringgit aliran wang dihantar balik oleh pekerja asing ke negara asal mereka dan keadaan ini merugikan negara.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan menetapkan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet pada Jumaat itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah.

Katanya mana-mana majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang telah tamat tempoh visa pekerjaan. — Bernama

Advertisement