Anda di sini

Malaysia tidak terlibat perangi ekstremis di Yemen dan Syria

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah terlibat dalam kerjasama ketenteraan untuk memerangi kumpulan ekstremis di Yemen dan Syria yang dipimpin Arab Saudi, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Eksesais “Thunder of the North” (Raad al Shamal) baru-baru ini adalah atas jemputan julung kali pihak Arab Saudi berdasarkan hubungan bilateral kedua-dua negara yang berada pada tahap tertinggi.

“Latihan ini diadakan di Utara Arab Saudi, sementara Yemen pula terletak di selatan sempadan Arab Saudi. Jelas sekali latihan ini tidak ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan di Yemen ketika ini.

“Malaysia menyokong usaha membanteras kegiatan militan, namun ATM tak sanggup terlibat secara langsung dengan operasi ketenteraan di Yemen. Ia berbeza antara eksesais North Thunder ,” katanya ketika menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Hishammuddin berkata untuk menjadi sebuah pasukan tentera yang kredibel di rantau ini, ATM sentiasa mengambil kesempatan dan peluang melatih anggotanya dalam pelbagai situasi dan suasana yang membolehkan angkatan itu beroperasi dalam multi-terrain.

Beliau berkata matlamat penyertaan ATM dalam operasi North Thunder merangkumi empat laluan yang telah dibentang oleh pihak Arab Saudi iaitu bagi memastikan punca kewangan kumpulan pengganas Daesh dapat ditangani; membuat naratif balas kepada ideologi Daesh.

“Yang seterusnya membetulkan hubung kait komunikasi bagaimana media barat yang tidak menggambarkan wajah sebenar Islam dan terakhir ialah berdasarkan perkara ketenteraan,” katanya.

Hishammuddin berkata sehingga Februari lepas seramai 398 rakyat Malaysia masih berada di Yemen dengan 31 pegawai dan 56 anggota lain-lain pangkat berada di Riyadh, Arab Saudi.

Sementara itu, dalam sidang media di lobi Parlimen, Hishammuddin berkata penyertaan Malaysia dalam eksesais itu tidak dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan kerana ia merupakan eksesais biasa di mana ATM merancang untuk mengadakan 41 lagi eksesais tahun ini termasuk bersama negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

“Ia bukan perkara baharu, pendirian kita konsisten daripada dahulu bahawa ia tidak melibatkan operasi ketenteraan kita,” katanya. — Bernama

Advertisement