Anda di sini

Anggota polis dilepas dan bebas daripada pertuduhan rasuah

Advertisement

IPOH: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM700 daripada seorang lelaki warga Myanmar, tiga tahun lepas.

Hakim Indra Nehru Savandiah membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan setelah mendapati keterangan terhadap Lans Koperal Syed Mohd Fitri SyedMohammad, 29, adalah meragukan.

“Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Syed Mohd Fitri didakwa menerima suapan berjumlah RM200 daripada Zaw Naing Phyo sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Zaw yang telah melakukan kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Cina Pantai Remis dekat Manjung di sini, pada jam 4 petang, 29 Nov 2013.

Bagi pertuduhan kedua, menerusi perbualan telefon, tertuduh setuju menerima suapan berjumlah RM500 daripada Zaw sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Zaw yang telah melakukan kesalahan.

Syed Mohd Fitri didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Bandar Meru Raya di sini, pada jam  12.07 tengah hari, 9 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Mohamad Hafiz Jalaludin. — Bernama

Advertisement