Anda di sini

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu pertama mendaki Gunung Kinabalu

Advertisement

 Yeo (baris tengah, tiga kanan) bersama anggota DBKK sampai di puncak Gunung Kinabalu.

BERJAYA: Yeo (baris tengah, tiga kanan) bersama anggota DBKK sampai di puncak Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU: Satu rombongan peserta pendakian Gunung Kinabalu yang terdiri daripada 25 orang pegawai dan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang diketuai  oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, telah berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara pada 8 Mac yang lalu.

Kejayaan ini bertambah manis kerana Yeo ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang pertama berjaya sampai ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu iaitu Low’s Peak pada ketinggian 4095.2 meter.

Beliau berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam usia 60 tahun.

Yeo memimpin pasukan DBKK menuju kejayaan dengan semangat berpasukan yang jitu iaitu ‘Sehati Sejiwa’.

Ekspedisi pendakian ini dianjurkan oleh Kelab Rekreasi dan Kebajikan (REKA) DBKK.

Pendaki-pendaki juga mewakili beberapa persatuan seperti PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu, Kelab Berbasikal DBKK dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Penguatkuasaan (KERAP) DBKK.

Objektif pendakian adalah untuk mengukuhkan semangat bekerja berpasukan dalam kalangan warga DBKK dan menggalakkan amalan budaya hidup sihat.

Perjalanan dimulakan melalui Pintu Timpohon pada 7 Mac 2016  bermula jam 9 pagi. Semasa dalam perjalanan ke Laban Rata cuaca adalah baik, sejuk dan sedikit berangin.

Dilihat terdapat beberapa kesan ketara pada bentuk fizikal di laluan pendakian ini akibat gempa bumi yang telah berlaku pada 5 Jun 2015.

Para pendaki juga melepasi laluan baharu yang disediakan oleh Taman-Taman Sabah. Laluan baharu ini dibina dengan baik menggunakan kayu dan motif tempatan.

Turut disediakan ialah ruang berehat dari ‘wooden deck’ dengan sudut pemandangan pekan Kundasang yang indah dan menyegarkan. Ini ditambah lagi dengan kepelbagaian tumbuhan di persekitaran laluan itu.

Para pendaki DBKK tiba di Laban Rata pada jam 4.15 petang. Setelah berehat dan tidur pada jam 8 malam mereka bangun bersarapan pagi pada jam 2 pagi sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu jam 2.30 pagi.

Mengikut peraturan baharu Taman-Taman Sabah, para pendaki tidak dibenarkan mendaki ke puncak jika tidak sampai ke pintu pemeriksaan (Check Point) terakhir selepas jam 5 pagi.

Empat peserta pendakian tidak dapat melepasi had tempoh masa ini. Kumpulan pertama pendakian DBKK tiba di puncak pada jam 6 pagi manakala kumpulan kedua yang diketuai oleh Yeo telah berjaya ke puncak Gunung Kinabalu pada jam 7.20 pagi.

Advertisement