Anda di sini

Kecederaan kepala punca kematian penyu hijau

Advertisement

 Bangkai penyu hijau dewasa dibedah siasat oleh pasukan veterinar WRU Jabatan Hidupan Liar di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

SIASAT PUNCA KEMATIAN: Bangkai penyu hijau dewasa dibedah siasat oleh pasukan veterinar WRU Jabatan Hidupan Liar di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

KOTA KINABALU: Kecederaan di bahagian kepala dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan kematian seekor penyu hijau dewasa (Chelonia mydas) yang ditemui terdampar di pesisir pantai Pekan Sipitang.

Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Negeri merangkap Pengurus Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Dr Sen Nathan berkata berdasarkan bedah siasat yang dijalankan pasukan WRU, didapati beberapa kecederaan di bahagian kepala yang mungkin disebabkan terkena bot dikenal pasti sebagai punca menyebabkan penyu berkenaan mati.

Beliau berkata, tiada tanda lain yang menjadi punca kepada kematian penyu berkenaan. Malah, berdasarkan bedah siasat didapati penyu berkenaan boleh mencerna makanan dengan baik kerana perutnya penuh dengan makanan.

“Tiada plastik atau bahan asing lain ditemui di ‘gastrointestinal tract’ penyu berkenaan. Malah tiada tanda yang menunjukkan penyu itu mengalami ‘floater syndrome’,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Katanya, penyu berkenaan mungkin sudah mati selama empat atau lima hari sebelum bangkainya dihanyutkan ke pesisir pantai.

Sen berkata, bangkai penyu hijau itu dibawa oleh pasukan WRU ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi setelah mendapat laporan daripada orang ramai yang mengatakan bahawa terdapat bangkai penyu dilihat terdampar di pesisir pantai Pekan Sipitang.

Sebaik sahaja bangkai itu tiba di Taman Hidupan Liar, veterinar WRU terus menjalankan bedah siasat ke atas haiwan berkenaan.

Memberi penjelasan lanjut mengenai ‘floater syndrome’, Sen berkata sindrom itu berlaku apabila terdapat halangan pada usus penyu hingga menyebabkan udara terperangkap antara cengkerang dan badan sehingga mengakibatkan penyu itu hilang keupayaan untuk menyelam jauh ke dasar laut bagi mendapatkan makanan.

Beliau berkata, tanda biasa yang menunjukkan penyu mempunyai ‘floater syndrome’ adalah apabila penyu dilihat berada di permukaan air dan cengkerangnya dipenuhi dengan rumpai laut.

Sekiranya penyu itu tidak ditemui, ia akan berterusan kelaparan hingga ia mati.

Mengenai jumlah kes hidupan laut termakan plastik yang dikenal pasti setakat ini oleh pasukan WRU, Sen berkata daripada 30 kes yang dilaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar bagi tempoh lima tahun lepas, separuh daripada kes itu melibatkan haiwan yang gagal mencerna plastik yang terdapat dalam sistem penghadaman haiwan berkenaan.

Katanya, plastik sering disalah anggap sebagai obor-obor oleh haiwan berkenaan hingga menyebabkan haiwan itu memakannya tetapi gagal menghadamnya.

Advertisement