Anda di sini

Lebih 148,000 peminjam kewangan mendaftar dengan AKPK: Johari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 148,000 peminjam telah mendaftar di bawah Program Pengurusan Hutang yang dikendalikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat Februari lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata penyertaan dalam program itu membolehkan mereka yang menghadapi masalah menguruskan kewangan dibantu dari segi pengiraan pembayaran balik pinjaman dengan mengambil kira profil kedudukan kewangan peminjam.

“AKPK, sebuah anak syarikat Bank Negara Malaysia turut menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat kewangan supaya mereka yang menghadapi masalah kewangan dapat menyelesaikan masalah mereka sebelum tindakan undang-undang dikenakan oleh institusi perbankan bagi mendapatkan pembayaran balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang ingin tahu tindakan kementerian terhadap bank tempatan yang enggan menstruktur semula pinjaman bagi mengurangkan bayaran balik hutang perumahan.

Jelas Johari, institusi perbankan perlu memastikan pertimbangan sewajarnya diberikan kepada pelanggan yang gagal membuat bayaran balik pinjaman disebabkan beberapa faktor termasuk kesihatan atau tiada pekerjaan.

Pihak perbankan juga harus menawarkan pelan pembayaran balik bersesuaian dengan komitmen dan situasi semasa pelanggan bagi meringankan beban mereka, katanya. — Bernama

Advertisement