Anda di sini

Dua keutamaan kekalkan kestabilan kewangan

Advertisement

KOTA KINABALU: Ke-rajaan negeri akan terus mengamalkan dasar perbelanjaan yang berhemat untuk mengekalkan kestabilan kewangan negeri bagi menghadapi cabaran pada tahun 2016.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, untuk itu kerajaan negeri akan melaksanakan dua keutamaan iaitu pertama mengoptimakan perbelanjaan kerajaan dan kedua meningkatkan produktiviti menerusi usaha kreatif dan inovatif.

“Pertama, kita akan mengoptimakan perbelanjaan kerajaan mengikut keutamaan iaitu terhadap program yang boleh mendatangkan hasil atau kesan yang besar kepada setiap ringgit dibelanjakan tetapi tidak bermaksud memotong atau mengurangkan perbelanjaan.

“Dan kedua ialah dengan memikirkan cara bagaimana kita boleh menggunakan daya fikiran supaya lebih kreatif dan inovatif bagi meningkatkan produktiviti.

“Meningkatkan produktiviti bermaksud kita menambahkan usaha tanpa perlu bekerja keras atau menambah waktu bekerja, tetapi menggunakan minda kita untuk berfikir mencari penyelesaian yang lebih inovatif dan kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2016, di sini kelmarin.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata dengan keadaan semasa akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi utama, sektor awam perlu berfikir di luar kotak kebiasaan dan menjalankan operasi perkhidmatan secara kreatif yang menjimatkan masa dan kos operasi.

“Setiap perbelanjaan yang kita keluarkan perlu menekankan impak yang tinggi atau nilai untuk wang yang dibelanjakan bagi mengelak pembaziran dan ketirisan.

“Selama ini, kita di peringkat negeri telah melaksanakan Perbelanjaan Secara Berhemat. Tapi ini bukanlah baharu bagi kita atau tahun ini baharu kita laksanakan.

“Memang inilah antara dasar dan prinsip yang saya amalkan dalam soal pengurusan perbelanjaan dan kewangan, sejak menerajui kepimpinan negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar penjawat awam tidak leka dan membazir ketika berada di zon selesa dan makmur dari segi ekonomi dan kewangan, sebaliknya menguruskan sumber yang ada pada setiap masa dengan sebaik-baiknya.

“Sebenarnya, negeri kita masih banyak potensi dan bidang yang masih perlu diterokai dan dimanfaatkan sepenuhnya yang boleh menjana dan mempelbagaikan hasil negeri,” katanya.

Musa berkata dalam menghadapi situasi itu, sokongan dan kerjasama semua pihak diperlukan termasuk penjawat awam dengan terus meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan, pengurusan kewangan, pengurusan hasil, sumber dan perkhidmatan agar dapat terus memacu pembangunan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan tetamu kehormat yang lain.

 

Advertisement