Anda di sini

Aman Palestin dan pendarahah adakan kunjungan hormat terhadap TYT

Advertisement

 Rombongan Aman Palestin tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan bersama Juhar (dua kiri).

BERKUNJUNG: Rombongan Aman Palestin tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan bersama Juhar (dua kiri).

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menerima kunjungan hormat rombongan Aman Palestin Berhad Cawangan Sabah diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Ustaz Awang Suffian Awang Piut di Istana Negeri, pagi kelmarin.

Kunjungan bertujuan memaklum dan membincangkan mengenai aktiviti badan itu sepanjang tahun ini di Sabah.

Antaranya ialah Golf Amal Untuk Palestin yang akan diadakan pada bulan April dan Karnival Al-Aqsa Di Hatiku akan dilaksanakan di Sandakan dan Tawau pada 24 dan 25 Mac ini.

Menurut Awang Suffian, program itu dijalankan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa perang di Palestin.

“Setiap bulan kita adakan pelbagai aktiviti seperti program kemasyarakatan untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Sabah khususnya dalam membantu dan menjaga hak-hak kemanusiaan kepada golongan yang masih lagi dijajah dan dianiya hingga hari ini.

“Selain itu, kita juga merancang untuk mengadakan program besar, karnival serta pelbagai program pada bulan ramadan dan Majlis Makan Malam Amal.

“Aman Palestin mempunyai 18 cawangan di seluruh Malaysia termasuk tiga cawangan di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Labuan dengan kekuatan enam orang staf yang dibantu oleh para sukarelawan yang sentiasa bekerjasama untuk menjayakan program yang dirancang,” katanya kepada media di Istana Negeri, kelmarin.

Terdahulu, Juhar menerima kunjungan hormat Presiden Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (PENDARAH) Taufick Ruschi dan rombongan.

Taufick berkata persatuan itu mengambil beberapa langkah untuk memberi kesedaran dan kepentingan derma darah kepada orang ramai dalam usaha membantu pesakit yang sangat memerlukan darah seperti ibu bersalin, anak yang dilahirkan dengan penyakit kuning, para pesakit talasemia, mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, pembedahan dan para pesakit buah pinggang.

“Sepanjang tahun ini, kita merancang 24 aktiviti kempen derma darah di setiap daerah di seluruh Sabah bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Sebagai perbuka tahun 2016, pada bulan Januari yang lalu kita berjaya mengadakan kempen itu di Hospital Queen Elizabeth, Keningau, Beaufort, Tawau dan Sandakan,” katanya.

 

 

Advertisement