Anda di sini

Ambil tahu kriteria dapat bantuan awal persekolahan

Advertisement

Syarat yang ditetapkan bukan sengaja diada-adakan

 Alex (tengah) merakam gambar kenangan bersama warga pendidik SMK Tansau.

TAHNIAH: Alex (tengah) merakam gambar kenangan bersama warga pendidik SMK Tansau.

PUTATAN: Ibu bapa dan penjaga pelajar diingatkan supaya sentiasa mengambil tahu tujuan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan mengetatkan kriteria pemberian bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 yang dilaksanakan pada setiap tahun itu.

Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh berkata, syarat yang ditetapkan seperti hanya memberi kepada ibu bapa dan penjaga pelajar yang berpendapatan RM3,000 ke bawah itu bukanlah satu perbuatan yang sengaja diada-adakan.

“Kriteria yang ditetapkan untuk menerima bantuan ini bukan sengaja diada-adakan tetapi bertujuan memastikan tidak berlakunya penipuan atau pemalsuan jumlah pendapatan sebenar ibu bapa pelajar.

“Di samping itu, pengurangan jumlah penerima bantuan ini juga disebabkan situasi ekonomi negara kini yang tidak menentu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sesi 2016 dan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di SMK Tansau, di sini Sabtu lepas.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Pejabat Parlimen Putatan Alex Among.

Mojigoh berkata, tapisan senarai akan dilaksanakan oleh guru sekolah dengan meneliti maklumat serta dokumen pengesahan pendapatan ibu bapa agar pelajar yang benar-benar layak sahaja menerima sekali gus mengelak berlakunya nama penerima yang tercicir daripada senarai.

Justeru katanya, permufakatan ibu bapa dan guru perlu bagi membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan termasuklah pembelajaran dan pengajaran (P&P) pelajar.

Tambahnya, PIBG pula mempunyai peranan yang saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan.

“Ia termasuklah tanggungjawab bersama dalam menyediakan prasarana dan suasana sekolah yang kondusif kepada pelajar dan guru di sekolah,” katanya.

Pada masa sama, Mojigoh juga merakam ucapan tahniah kepada pihak sekolah dan PIBG SMK Tansau kerana berjaya meningkatkan pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peningkatan sebanyak 4.66 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu, seramai 1,314 dari 1,927 pelajar SMK Tansau yang layak menerima bantuan dengan jumlah bantuan awal persekolahan yang diterima oleh pihak sekolah sebanyak RM131,400.

Advertisement