Anda di sini

Usahawan Bumiputera diminta saling bekerjasama

Advertisement

KOTA KINABALU: Para usahawan Bumiputera di negeri ini diminta saling bekerjasama dan membuang perasaan pentingkan diri sendiri dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat berkata, dalam menguruskan perniagaan masing-masing, pihak terlibat perlu saling membantu rakan-rakan yang lain agar dapat berdaya saing dalam menghadapi cabaran.

 

“Jikalau kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sedia berkongsi, memang benar kita masih lagi mendapat keuntungan. Tetapi cara sedemikian merupakan keuntungan dari segi jangka pendek sahaja.

“Sekiranya ia terus dilakukan, maka akibatnya ialah kerugian kepada semua pihak dalam jangka panjang,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Kontraktor Bekalan dan Perkhidmatan njuran Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, di sini baru-baru ini.

Seminar dihadiri kira-kira 60 peserta dari seluruh Sabah dan telah berlangsung selama tiga hari (1Mac-3 Mac).

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir Kementerian, Sahar Unggat, penceramah Efendy Goriaman dari Iman Consultan dan peserta kursus.

Menurut Hamisa, usahawan bukannya dapat dilahirkan dalam sekelip mata. Ia perlu melalui pelbagai proses dan mengambil masa yang lama.

Katanya, menyedari hakikat ini, kerajaan melalui kementerian ini telah mengambil beberapa langkah awal untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya terutamanya di kalangan Bumiputera.

“Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat telah diberi tanggungjawab untuk membudayakan keusahawanan di kalangan masyarakat khususnya kepada bakal-bakal kontraktor dan kontraktor Bumiputera sedia ada.

“Untuk memulakan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah dan ada kalanya peniaga terpaksa bergadai barangan berharga untuk dibuat modal. Tidak kiralah apa juga jenis bidang keusahawanan yang diceburi, sebetulnya banyak risiko yang perlu dihadapi. Salah langkah, boleh menjerumuskan pula kepada kemuflisan,” tambahnya.

Advertisement