Anda di sini

Usaha sama Beacon dan MPMS dilanjutkan, rawat pesakit kanser kurang mampu

Advertisement

KOTA KINABALU: Ke arah membantu mempercepatkan proses rawatan bagi pesakit kanser di negeri ini, Hospital Beacon, Selangor melanjutkan usaha sama bersama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser yang kurang berkemampuan.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang mula ditandatangani antara Hospital Beacon dan MPMS pada 2014 dan berakhir pada 31 Disember 2015 itu kini dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi (2015-2017) bagi membolehkan hospital swasta berkenaan menyediakan perkhidmatan rawatan onkologi terutama dalam radiosurgery (cyberknife) dan radioterapi (Linac).

Pengarah Perubatan & Konsultan Klinikal Onkologi Hospital Beacon Datuk Dr Mohamed Ibrahim A.Wahid berkata, usaha ini dilihat sebagai langkah membantu mengurangkan senarai menunggu dalam kalangan pesakit kanser untuk menerima rawatan di hospital kerajaan.

Beliau berkata, sejak MoU itu ditandatangani pada 2014, seramai 450 pesakit di seluruh Sabah telah mendapatkan khidmat konsultasi daripada Hospital Beacon. Daripada jumlah itu, 116 pesakit telah dihantar untuk menerima rawatan susulan di hospital berkenaan.

Melalui MoU yang dibuat pada 2014, hospital berkenaan memperuntukkan kos rawatan berjumlah RM2 juta kepada pesakit kanser di Sabah dan sehingga kini, kira-kira RM756, 000 sahaja telah digunakan.

Lebihan peruntukan itu akan terus digunakan bagi lanjutan MoU yang baharu sahaja diadakan ini.

Pesakit yang menerima rawatan melalui usaha sama bersama MPMS ini kebanyakannya terdiri daripada pesakit kurang berkemampuan dan pesakit yang terdiri daripada golongan yang miskin.

Untuk pesakit daripada golongan miskin, perbelanjaan rawatan ditanggung sepenuhnya oleh MPMS dan Hospital Beacon.

Manakala, pesakit yang kurang mampu membiayai rawatan perubatan pula, pembiayaan rawatan akan diberikan subsidi mengikut tahap kemampuan mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Menandatangani MoU antara Hospital Beacon dan MPMS, di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, di Bangunan UTC, di sini kelmarin.

Beliau berkata, beliau bersama kumpulan perubatan dari Hospital Beacon akan mengadakan konsultasi di Sabah pada setiap bulan untuk memberi konsultasi mengenai rawatan kepada pesakit yang dikenal pasti oleh MPMS.

Selain pesakit yang dicadangkan oleh MPMS, Hospital Beacon turut menerima pesakit yang dirujuk daripada Hospital Queen Elizabeth.

Katanya, pesakit yang dirawat di Hospital Beacon juga menerima rawatan susulan di hospital-hospital kerajaan.

Mohamed berkata, hospital itu bukannya ingin bersaing dengan hospital kerajaan. Memang terdapat kemudahan rawatan kanser di hospital kerajaan tetapi, terdapat peralatan tertentu yang tidak disediakan di hospital kerajaan seperti kemudahan rawatan menggunakan mesin cyberknife.

Katanya, dengan adanya cyberknife, ia dapat membantu merawat kanser bagi pesakit yang berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan.

“Dengan kemudahan ini, ia hanya menggunakan kaedah pancaran radiasi dengan dos yang tinggi dan akan fokus kepada tumor dan ketepatannya lebih kurang 1mm.

“Secara purata setiap rawatan ke atas pesakit kanser dilakukan sebanyak satu hingga lima kali rawatan. Rawatan ini dibuat tanpa bius dan tidak memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke wad hospital,” katanya.

Menurutnya, rawatan mesin cyberknife ini sesuai digunakan kepada pesakit yang berisiko tinggi jika menjalani pembedahan terutama kanser otak serta untuk pesakit kanser yang agak berusia dan tidak sesuai dibius atau sel kanser berada berhampiran dengan organ kritikal seperti mata.

Sehingga kini, seramai 1,500 orang pesakit yang terdiri daripada rakyat  Malaysia dan luar negara yang menerima rawatan menggunakan cyberknife ini.

Mohamed berkata, berdasarkan rekod, kematian disebabkan rawatan cyberknife adalah kosong dan belum pernah ada pesakit yang mati kerana menggunakan kaedah rawatan ini.

Advertisement