Anda di sini

PBST dedah sejarah pemerintahan pada zaman kesultanan Sarawak

KUCHING: Pementasan Bangsawan Sultan Tengah (PBST) disifatkan sebagai pendedahan sejarah pemerintahan  pada zaman kesultanan Sarawak.

PBST merupakan projek bersama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak.

Pementasan tersebut diadakan selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mac di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Perguruan Batu Lintang di sini.

Persembahan kedua PBST malam kelmarin turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Difahamkan pelaksanaan PBST merupakan cetusan idea Tun Taib ketika kunjungan hormat di Astana Negeri pada 2015 oleh AKYBMS dan DBP Sarawak.

Menerusi kunjungan tersebut, Tun Taib menyuarakan harapan agar pementasan bangsawan dibuat berdasarkan sejarah negeri Sarawak.

Sehubungan itu, sebagai menyahut saranan berkenaan AKYBMS dan DBP Sarawak tampil dengan perancangan bagi melaksanakan PBST pada tahun ini.