Anda di sini

Paitan perlu pejabat pendaftaran untuk atasi masalah penduduk tiada dokumen

Advertisement

PAITAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, sebuah pejabat pendaftaran perlu diwujudkan di kawasan Paitan untuk memudahkan urusan penduduk setempat terutama yang masih belum memperolehi dokumen pengenalan diri.

Menurut beliau, antara faktor yang menyukarkan penduduk mendapatkan dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan berikutan tempat tinggal jauh dari pekan Beluran.

Katanya, terdapat kira-kira 2,000 penduduk kampung di kawasan itu belum mendapat kad pengenalan sehingga ke hari ini, manakala 200 hingga 300 orang masih belum memperolehi sijil lahir.

Sehubungan itu, pewujudan pejabat pendaftaran di kawasan berkenaan perlu diberi tumpuan agar rakyat tidak lagi berdepan masalah dokumentasi.

“Saya meminta agar kerajaan dapat mewujudkan sebuah pejabat pendaftaran di Paitan yang akan membantu mengurangkan masalah penduduk untuk mendapatkan sijil lahir dan kad pengenalan. Saya yakin dengan adanya kemudahan ini mampu mengurangkan masalah untuk berurusan sekali gus sifar sijil lahir dan kad pengenalan melibatkan kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Bersepadu Mahkamah Bergerak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pinangkau, dekat sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd merangkap Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Beluran memberitahu, 300 penduduk kampung sekitar Paitan akan mendapat manfaat dalam program dua hari itu.

Program seumpama itu amat diperlukan terutama bagi penduduk yang masih belum mendapat sebarang dokumen pengenalan diri.

Maklum balas orang ramai amat menggalakkan apabila kebanyakan penduduk yang tinggal jauh telah berada di SK Pinangkau lebih awal bagi persediaan menghadiri program bersepadu itu.

“Selain peserta, pemimpin-pemimpin akar umbi seperti ketua kampung, pengerusi JKKK dan pegawai-pegawai kerajaan sudah pun ada di sini bagi persediaan program yang akan dikendalikan oleh pihak Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.

Advertisement