Anda di sini

Masalah mental kanak-kanak meningkat

Advertisement
 Mariati (empat, kanan) bersama semua peserta merakam gambar kenangan pada Seminar Kecergasan Mental, Fizikal dan Minda Sihat.

CERIA: Mariati (empat, kanan) bersama semua peserta merakam gambar kenangan pada Seminar Kecergasan Mental, Fizikal dan Minda Sihat.

Lebih membimbangkan, kajian menunjukkan terdapat rancangan membunuh diri

KOTA KINABALU: Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati bilangan masalah mental dalam kalangan kanak-kanak berumur dari 1 hingga 15 tahun mencatat peningkatan setiap tahun.

Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus pada 1996, kemudian meningkat kepada 19.3 peratus pada 2006 dan 20 peratus pada 2011.

Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Mariati Robert berkata, berdasarkan rekod diterima, lebih membimbangkan apabila hasil kajian pada 2011 menunjukkan terdapat rancangan membunuh diri dalam kalangan kanak-kanak.

“Antara punca kanak-kanak terbabit mengalami tekanan perasaan disebabkan penceraian ibu bapa, keadaan persekitaran, tidak mampu menjalankan aktiviti dan diskriminasi oleh rakan sebaya.

“Sehubungan itu, hubungan ibu bapa dan anak serta kasih sayang yang diberikan dan aktiviti riadah menjadi satu sumber sokongan yang amat berkesan dalam mengurangkan tekanan mental dan emosi anak-anak,” katanya ketika merasmikan penutupan Seminar Kecergasan Mental, Fizikal dan Minda Sihat di sini pada Khamis.

Mariati berkata, masalah mental dalam kalangan remaja turut mengalami peningkatan iaitu 13 peratus pada 1996, 19.6 peratus pada 2006 dan 20 peratus pada 2011.

Katanya, golongan remaja yang mengalami masalah kemurungan yang menetap dalam bandar adalah 1.8 lebih tinggi berbanding yang menetap di luar bandar.

“Wanita juga didapati dua kali ganda iaitu 3.1 peratus lebih tinggi mudah mengalami kemurungan berbanding lelaki yang hanya 1.8 peratus.

“Justeru, kita hendaklah sentiasa peka dan menjaga kesihatan minda kita dengan mengamalkan sikap positif, bersenam dan diet makanan yang teratur,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pelbagai langkah agresif sudah diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dalam membangunkan program kesihatan minda.

Terdahulu, seminar yang diadakan selama sehari itu disertai seramai 450 peserta dari kakitangan kerajaan, NGO serta badan swasta.

Ia diadakan bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang kepentingan minda sihat sekali gus merayakan Hari Wanita Antarabangsa yang bakal disambut di seluruh dunia pada 8 Mac ini.

Hadir sama Pengerusi Jabatan Kesihatan Majlis Penasihat Wanita Sabah Maria Suleiman dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWS) Myrna Jimenez.

Advertisement