Anda di sini

Anggota digesa agar sentiasa menjaga nama baik PDRM

Advertisement

KENINGAU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato Abdul Rashid Harun meminta para pegawai dan anggota polis agar sentiasa menjaga nama baik PDRM.

Katanya, mereka hendaklah berkhidmat tanpa mengira masa dan ketika dan sentiasa berfikiran terbuka.

“Elakkan daripada pemikiran yang negatif dan sentiasa bekerjasama untuk menjamin kejayaan dalam pasukan,” katanya dalam amanatnya semasa lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini pada Khamis.

Rashid yang turut berkongsi pengalamannya dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 41 tahun meminta para pegawai dan anggota agar kembali kepada asas.

Katanya, penampilan diri semasa bertugas sangat penting sama ada pegawai mahupun anggota untuk meningkatkan imej diri dan pasukan.

Menurut beliau, kerja mestilah sentiasa kemas dan dalam masa sama, semangat kerjasama antara pegawai dan anggota sangat  penting.

“Ancaman keselamatan perlu diberikan keutamaan dalam mencegah penyeludupan contohnya senjata dan dadah.

“Keselamatan masyarakat harus diutamakan di samping meningkatkan keselamatan di balai-balai polis dengan mengambil langkah-langkah proaktif dalam mencegah jenayah.

“Pegawai dan anggota harus komited dengan  tugas yang telah diamanahkan.

“Latihan dalam perkhidmatan (LDP) harus melibatkan semua  pegawai dan anggota dan kongsikan skop  tugas hakiki,” katanya.

Rashid meminta pegawai dan anggota yang sudah lama berkhidmat agar dapat berkongsi pengalaman dengan mencurahkan pengalaman melalui LDP.

Katanya, mereka juga hendaklah membuat penglibatan  yang lebih berkesan untuk mendapat maklum balas dari masyarakat.

Menurut beliau, ia harus dibuat meliputi keseluruhan masyarakat untuk mendapatkan kerjasama masyarakat membantu pihak polis mencegah jenayah.

Katanya, mereka juga perlu membuat pendekatan yang lebih berkesan untuk memenangi hati masyarakat.

“Ketakutan terhadap jenayah di kalangan masyarakat harus dikurangkan.

“Setiap pegawai dan anggota perlu meningkatkan kualiti penyiasatan. Setiap kes yang dilaporkan harus disiasat dengan teliti, siasatan harus dijalankan pada setiap kes yang dilaporkan.

“Penyelesaian kes harus dipertingkatkan dan secepat mungkin. Semua pihak termasuk anggota detektif perlu memainkan peranan dan harus bekerjasama dalam  membanteras jenayah,” katanya.

Rashid memberitahu bahawa, untuk menjadi seorang pemimpin harus memiliki lima ciri iaitu kuasa hakiki, kuasa kepakaran, kuasa rujukan, kuasa ganjaran dan kuasa paksaan.

Beliau juga meminta pegawai dan anggota-anggota polis agar dapat menggalakkan isteri aktif dalam PERKEP.

“PERKEP harus membuat  program yang membina untuk mengeratkan lagi hubungan sesama ahli,” katanya.

Terdahulu ketibaan Rashid dan isteri Datin Ainalmarhanim Abdul Ghani yang juga Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah ke majlis yang diadakan di Dewan Sri Keningau, IPD Keningau telah disambut oleh Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong.

Rashid kemudian memeriksa perbarisan kehormat anggota polis berbagai pangkat di bawah pegawai memerintah ASP James Ding.

Seramai 150 pegawai dan anggota polis, kakitangan perkhidmatan awam dan ahli-ahli PERKEP hadir pada majlis itu.

Advertisement