Anda di sini

IPSOM dan SASSREC meterai MOU

Advertisement

Kerjasama tangani pelbagai isu keselamatan khususnya di Sabah

 Ahmad Zahid Hamidi ketika menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

GEMBIRA: Ahmad Zahid Hamidi ketika menerima pelantikan sebagai Profesor Adjung Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama menangani pelbagai isu keselamatan khususnya di Sabah.

IPSOM diwakili oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim manakala SASSREC diwakili Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam

Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Melalui MoU berkenaan, pelbagai idea dalam mengenal pasti isu dan masalah keselamatan dan kententeraman awam di Sabah ;akan dapat diteroka bersama.

Kedua-dua belah pihak juga bersetuju membentuk dan membangunkan mekanisme penyelidikan bagi mengkaji dan menganalisis data yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan awam.

IPSOM dan SASSREC juga bersetuju menyalurkan hasil atau dapatan penyelidikan kepada penggubal dan agensi penguat kuasa sistem pengadilan jenayah bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah selain berkongsi pengalaman terbaik dalam aspek penyelidikan.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU berkenaan Ahmad Zahid mahu agar ia dapat merintis jalan untuk IPSOM dan SASSREC muncul sebagai badan penyelidik berkaitan keselamatan yang unggul bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara.

Ahmad Zahid berharap hasil kajian IPSOM dan SASSREC berkenaan kelak bukan sekadar berbentuk teori di atas kertas dan hipotesis semata-mata tetapi mampu dipraktikkan golongan pembuat dasar untuk membuat dasar berkaitan keselamatan negara.

Musa pula berkata beliau yakin MoU itu akan dapat menghasilkan dapatan kajian yang boleh memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia, khususnya di negeri Sabah.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya seluruh rakyat di negeri berkenaan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani sebarang bentuk ancaman yang dihadapi dengan menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dan pihak berkuasa melalui penyaluran maklumat berkaitan keselamatan di tempat masing-masing.

Katanya peranan itu penting bagi membolehkan langkah pencegahan dapat segera diambil pihak berkuasa bagi menyekat sebarang ancaman yang boleh memudaratkan keselamatan rakyat di negara ini.

UMS merupakan universiti ketiga di negara ini memeterai MoU dengan IPSOM selepas Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2014 serta Universiti Utara Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) kedua-duanya pada tahun 2015.

Pada majlis berkenaan, Mohd Harun turut mengumumkan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Profesor Adjung di SASSREC sebagai menghargai sumbangan dan pengetahuan luas beliau dalam bidang keselamatan.  — Bernama

Advertisement