Anda di sini

Kontraktor, rakyat diminta guna peruntukan secara berhemat

Advertisement

RANAU: Para kontraktor atau rakyat yang menerima peruntukan bagi membuat sesuatu projek dinasihatkan supaya menggunakan peruntukan itu secara berhemat atau menyiapkan projek yang dipertanggungjawabkan sehingga memuaskan semua pihak.

Ahli Parlimen Datuk Dr Ewon Ebin berkata, sebagai kontraktor mereka tidak lari dari niat mendapatkan keuntungan melalui projek yang diberikan tetapi janganlah sampai mengaut keuntungan tanpa mempertimbangkan kualiti projek itu.

“Kontraktor atau orang yang dipilih melaksanakan sesuatu projek itu secara tidak langsung menjadi wakil kerajaan dan sepatutnya memberikan contoh terbaik dalam penyiapan projek bagi mengekalkan kepercayaan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jambatan gantung sepanjang 264 kaki merentangi sebuah gaung menuju ke Gereja St Edwin Kampung Meringkan, kira-kira 45 kilometer dari pekan, dengan peruntukan berjumlah RM15 ribu.

Sambil memuji penganut Katolik di kampung itu yang telah bergotong-royong menyiapkan jambatan berkenaan, beliau menggesa supaya perpaduan dan kerjasama sedemikian turut dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.

Pada majlis yang sama, Ewon turut dibawa melawat sebuah gereja Katolik di kampung itu, berukuran 80’x36’ yang juga disiapkan oleh penduduk secara bergotong-royong dengan hanya menggunakan peruntukan sebanyak RM15 ribu.

Melihat bangunan gereja itu, beliau melahirkan rasa kagumnya terhadap komitmen dan perpaduan yang diamalkan oleh penduduk kampung sehingga berjaya membina bangunan sebesar itu dengan peruntukan yang kecil.

“Saya amat terperanjat melihat bangunan sebesar ini dengan peruntukan RM15 ribu sahaja. Pembinaan bangunan sebesar ini sekurang-kurangnya memerlukan peruntukan sebanyak RM100 ribu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Komiti Umat Katolik (KUK) Thadius Tapin berkata, pembinaan jambatan gantung itu sangat diperlukan penduduk bagi memendekkan jarak perjalanan mereka dari kawasan perumahan ke gereja.

Katanya, sebelum ada jambatan itu mereka terpaksa melalui jalan raya besar yang agak jauh malah mungkin boleh mendatangkan risiko kemalangan terutamanya kepada kanak-kanak.

Menurut beliau, peruntukan RM15 ribu daripada kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk membaiki gereja lama telah mereka gunakan untuk membina gereja baharu yang agak besar bagi menampung umat yang semakin ramai.

“Bagaimanapun, bangunan gereja ini masih belum siap sepenuhnya dan masih memerlukan peruntukan terutamanya untuk membuat siling, jubin lantai, tandas, pejabat chapel dan perluasan tapak untuk letak kereta,” katanya.

Sebagai respons, Ewon telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 ribu untuk membuat siling, RM10 ribu untuk jubin lantai, RM6,000 untuk membina pejabat chapel, RM5,000 untuk meluaskan kawasan parkir, RM3,000 untuk membina tandas dan RM3,000 untuk membeli kelengkapan semasa upacara sembayang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Komiti Pastoral Kristian Katolik (KPKK) Zon Nunuk Ragang Joseph Asir, Katekis Peter Sumping, Pegawai Khas Parlimen Japirin Sahadi dan pemimpin gereja setempat.

 

Advertisement