Anda di sini

Berhati-hati dengan api pada musim kemarau: Pairin

Advertisement

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menasihati rakyat di negeri ini supaya sentiasa lebih berhati-hati dengan api pada musim kemarau ini.

“Kecuaian boleh menyebabkan kebakaran yang boleh memusnahkan harta benda kita,” katanya selepas melawat dua mangsa kebakaran di Kampung Karanaan, di sini Rabu lalu.

Katanya, penduduk hendaklah memastikan agar pada musim kemarau ini tidak melakukan sebarang pembakaran secara terbuka di kebun kerana bimbang api akan merebak ke kawasan lain dan menyebabkan kemusnahan harta benda.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, semua pihak di negeri ini perlu bertanggungjawab agar tidak melakukan pembakaran kebun yang boleh menyebabkan kebakaran lebih besar lagi.

“Pada masa sama, saya juga menasihatkan penduduk kampung terutama ibu bapa agar sentiasa berhati-hati dengan tidak membiarkan anak-anak bermain api yang merupakan penyumbang kepada sesuatu kebakaran.

“Saya juga meminta setiap penduduk agar sebelum meninggalkan rumah, semua peralatan elektrik termasuk api dipadamkan. Sementara talian elektrik yang sudah lebih sepuluh tahun hendaklah diperiksa sama ada ia selamat digunakan atau sebaliknya,” katanya.

Pada lawatan itu, Pairin turut menyampaikan sumbangan barangan makanan, tilam dan bantal serta wang RM1,500 kepada setiap satu kepada dua keluarga mangsa terdiri Jinisius Oisin dan Lester Aking.

Turut mengiringi Pairin ialah Setiausaha Politik Welfredoline Jakil, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Severius Bruno, Ketua Daerah OKK Philip Kitingan, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Pada hari yang sama, pergerakan Wanita UMNO Keningau yang diketuai oleh Ketuanya Amelia Ajun turut menghantar sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan lain kepada kedua-dua keluarga terbabit.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi Selasa lalu, dua keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Karanaan.

Seramai sembilan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah dan tiga anggota Bomba Sukarela bersama sebuah jentera dan tiga kenderaan pacuan empat roda serta sebuah van bomba sukarelawan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi.

Kawasan kebakaran berhampiran dengan stesen minyak namun pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya dari merebak dan menamatkan operasi kira-kira jam 10.50 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

 

Advertisement