Anda di sini

Wanita cedera pokok hempap kereta

Advertisement

 Anggota bomba dan JPAM mengalihkan pokok yang menghempap sebuah kereta di Jalan Kolam, Luyang petang kelmarin.

MALANG TIDAK BERBAU: Anggota bomba dan JPAM mengalihkan pokok yang menghempap sebuah kereta di Jalan Kolam, Luyang petang kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang wanita mengalami kecederaan ringan apabila kereta yang dinaikinya dihempap pokok yang tumbang secara tiba-tiba di Jalan Kolam, Luyang di sini petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah Leftenan Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata kejadian pada jam 1.44 petang itu hanya menyebabkan kecederaan kecil kepada seorang mangsa wanita berumur 46 tahun.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pokok tumbang berkenaan menghempap empat kenderaan termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang mengalami kerosakan teruk apabila melalui jalan terbabit sewaktu kejadian.

“Anggota JPAM melakukan operasi untuk mengalihkan batang pokok yang menghempap kenderaan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap atau tersepit di dalam kenderaan yang terjejas.

“Dalam operasi berkenaan, kita dapati seorang mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu bahagian jari kanan mangsa yang terkena kaca dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan,” katanya.

Mulliadi berkata, operasi dilakukan seramai lima anggota JPAM bersama sebuah jentera dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

 

 

Advertisement