Anda di sini

Jangan tangguh pembinaan empangan air di Gudang Empat

Advertisement
 Tawfiq (topi biru) mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Air Tawau dan pengendali Loji Rawatan Air Jalan Utara semasa melakukan tinjauan.

FOKUS: Tawfiq (topi biru) mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Air Tawau dan pengendali Loji Rawatan Air Jalan Utara semasa melakukan tinjauan.

TAWAU: Pembinaan em-pangan air di Gudang Empat disifatkan satu-satunya kaedah penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang bagi mengatasi isu bekalan air di Tawau, malah perlu dipercepatkan kerana ke-perluannya amat mendesak.

Sehubungan itu, kerajaan pusat menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dirayu supaya tidak melambat-lambatkan proses pembinaan projek bernilai lebih RM400 juta itu.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri tidak berkira mengenai peruntukan dalam bentuk ‘soft loan’ yang dipersetujui asalkan pembinaan empangan itu dapat dilaksanakan.

“Jangan bertangguh lagi, jika kesemua keperluan (dokumentasi dan hal-hal berkaitan) sudah disediakan, kita minta ihsan kerajaan Persekutuan untuk menyegerakannya.

“Kita tidak mahu rakyat yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada hujan terus menderita akibat kemerosotan bekalan air di loji-loji rawatan air di daerah ini,” katanya.

Tawfiq berkata empangan baharu itu berperanan penting untuk menstabilkan bekalan air ke loji-loji rawatan yang ada untuk disalur ke seluruh daerah ini pada masa hadapan.

Menurutnya, empangan terbabit juga bukan sekadar memainkan peranan pada musim kemarau, tetapi turut mampu mengatasi masalah banjir apabila musim tengkujuh.

“Kita juga perlu bersiap sedia kerana jika projek empangan ini dilaksanakan pada tahun ini bermakna kita terpaksa menunggu sehingga lima tahun untuk menikmati manfaatnya.

“Projek sebegini lazimnya mengambil masa lima tahun disiapkan, namun kita akan berhadapan masalah ini untuk tempoh lebih lama lagi jika tidak dibina pada tahun ini,” katanya.

Menyentuh inisiatif jangka pendek pula, ADUN Apas itu berkata alternatif penyelesaian masalah di Loji Rawatan Air Jalan Utara dan Cintamata juga boleh diatasi dengan memanfaatkan kelebihan bekalan di loji Apas-Balung.

Tawfiq berkata alternatif itu antara pelan jangka pendek yang dirangka untuk meringankan beban pengguna yang terkesan akibat kekurangan air khususnya loji di Jalan Utara.

“Kita boleh memanfaatkan loji di Apas-Balung untuk membantu menampung keperluan loji di Jalan Utara yang mempunyai paras air terlalu rendah sehingga adakalanya kering.

“Namun kita memerlukan beberapa komponen seperti alat penjana pam, tangki dan logistik lain,” katanya sambil mengesahkan kertas kerja sudah dihantar berhubung perkara itu.

Beliau berkata permohonan peruntukan mengenai inisiatif berkenaan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Kita berharap KKLW dapat meluluskan peruntukan ini segera sebagai usaha kita untuk mengimbangi masalah kekurangan bekalan air di kawasan memerlukan,” katanya.

Untuk rekod, projek pembinaan empangan air di Gudang Empat untuk Projek Bekalan Air Tawau Fasa III terbabit sudah pun tertangguh pembinaannya semenjak 2014.

 

 

Advertisement