Anda di sini

FoKMG serah sumbangan ‘misikasih’ kepada malim gunung

Advertisement
 Sumbangan FoKMG kepada malim gunung dalam program ‘misikasih’.

JASAMU DIKENANG: Sumbangan FoKMG kepada malim gunung dalam program ‘misikasih’.

KOTA KINABALU: Friends of Kinabalu Mountain Guides (FoKMG) dalam misi sosialnya baru-baru ini mengunjungi Persatuan Malim Gunung Kinabalu (PEMANGKINA) untuk menyerahkan sumbangan hasil jualan baju-T badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Jurucakap FoKMG, Nelson Justin Adeh memberitahu pihaknya telah mengadakan penjanaan kewangan itu selepas peristiwa gempa bumi Gunung Kinabalu bertujuan membantu kalangan malim gunung yang menghadapi kesukaran disebabkan penutupan sementara aktiviti mendaki.

“Semua hasil jualan diberikan kepada PEMANGKINA,” katanya.

Menurut beliau, FoKMG merupakan satu gerakan tidak rasmi tiga hari selepas peristiwa gempa bumi yang diasaskan oleh lapan staf Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), bertujuan menghargai pengorbanan nyawa para malim gunung ketika bencana Gunung Kinabalu berlaku.

Dalam pertemuan itu, sumbangan disampaikan Dr Jeannet Stephen kepada Pengerusi PEMANGKINA Richard Soibi.

Mulanya, FoKMG hanya merupakan usaha melalui media Facebook tapi kemudian meluaskan skopnya selepas mendapati kesan teruk beberapa siri gempa bumi di sekeliling Gunung Kinabalu.

Badan itu kemudian menjadi media tidak rasmi yang memberikan maklumat terkini tentang keadaan pasca gempa kepada masyarakat, merayu bantuan kemanusiaan dan menjadi penghubung antara penduduk dengan pihak berkuasa.

FoKMG juga menggerakkan sukarelawannya menemui penduduk yang terjejas untuk memberikan khidmat dan bantuan yang termampu.

Sejumlah sumbangan dalam bentuk air mineral, khidmat kaunseling memulihkan trauma, ceramah umum mengenai bencana yang disampaikan Prof Dr Felix Tongkul serta mengadakan motivasi pelajar di SK Melangkap, SK Kiau dan SK Kaung.

Setiap aktiviti dijalankan atas nama program ‘misikasih’ dan sambutan kalangan sukarelawan yang mendorong pengasas badan itu untuk mendaftarkannya sebagai persatuan berdaftar di bawah Pertubuhan Pendaftar (RoS).

‘Misikasih’ kini diterajui Dr Rosy Talin sebagai pengerusi serta dibantu oleh Jupili Panchai (timbalan), Veronica Petrus Atin (setiausaha), Dr Jeannet Stephen (pen. setiausaha) dan Rose Patsy Tibok (bendahari), manakala Dr Soon Singh dan Nelson selaku ahli jawatankuasa.

 

 

Advertisement