Anda di sini

Kekalkan nilai, semangat perjuangan Rosli Dhobi

Rosli Dhobi adalah nasionalis, pejuang Melayu S’wak dari Sibu semasa era pemerintahan British

 Sebahagian pelajar sekolah yang menghadiri Seminar Memperingati Rosli Dhobi.

TUMPUAN: Sebahagian pelajar sekolah yang menghadiri Seminar Memperingati Rosli Dhobi.

KUCHING: Generasi muda harus mengekalkan nilai dan meneruskan semangat perjuangan ikon nasionalis seperti Rosli Dhobi untuk memajukan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Dr Wahbi Junaidi menegaskan peri pentingnya menyemai semangat juang tinggi dalam kalangan belia dengan mengambil contoh perjuangan wira serta pemimpin negara.

“Kita perlu meneruskan semangat perjuangan wira kita seperti Rosli Dhobi dan membantu negara terus maju dalam semua bidang seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Memperingati Rosli Dhobi di Pusat Penerangan Islam di sini, semalam.

Rosli Dhobi (1932-2 Mac 1950) adalah nasionalis dan pejuang Melayu Sarawak berasal dari Sibu semasa era pemerintahan British di negeri ini.

Beliau merupakan ahli Rukun 13, sebuah pertubuhan rahsia yang melakukan pembunuhan terhadap pegawai-pegawai kolonial British di Sarawak.

Rosli menjadi terkenal selepas beliau membunuh Sir Duncan George Stewart, gabenor penjajah British yang kedua di Sarawak pada 1948.

Dr Wahbi berkata pada masa sama generasi muda harus dibantu untuk lebih memahami sejarah Malaysia agar tidak ada pihak yang memutarbelitkan fakta.

“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, terlalu banyak maklumat. Bagaimanapun maklumat yang dikongsikan ada kalanya tidak tepat.

“Oleh itu, kita perlu mempunyai pengetahuan dan pemahaman mendalam mengenai sejarah negara untuk kebenaran,” ujarnya.

Sementara itu beberapa topik dibentangkan antaranya ‘Nasionalisme Melayu Dalam Gerakan Anti Penyerahan’ disampaikan

Siswa Sarjana Sejarah Institut Pengajian Borneo Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Samsol Morshidi Budang, ‘Surat-Surat Anti Penyerahan: Membongkar Agenda Sebenar (Siswa Sarjana Sejarah, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Azuan Jemat), ‘Warkah Terakhir As-Syahid Rosli Dhobi (Pengerusi LAM JALALAH, Awang Kelana Awang Hassan) dan ‘5 Negeri Yang Hilang: Warisan Nasionalisme Sarawak’ (Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said).