Anda di sini

SSD rayu diwujudkan tingkatan empat, lima untuk pelajar pekak

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Orang Pekak Sabah (SSD) merayu Kementerian Pendidikan untuk meluluskan cadangan mewujudkan kelas tingkatan empat dan lima buat pelajar pekak di negeri ini.

Presiden SSD Francis Yong berkata, usaha itu penting bagi memberi peluang kepada golongan itu mencipta kejayaan dalam akademik sepertimana golongan normal.

“Adalah menjadi harapan kita agar Jabatan Pendidikan dapat mengkaji permintaan persatuan dengan teliti untuk membantu golongan istimewa ini berada pada tahap sama dengan pelajar biasa yang tamat persekolahan hingga tingkatan lima.

“Walaupun kebelakangan ini kita tertumpu kepada kanak-kanak pekak yang lebih muda, pembangunan peribadi pelajar lebih tua terutamanya belia juga harus diutamakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah kepada Pelajar Pekak Cemerlang akademik dan kokurikulum, di sini kelmarin.

Francis berharap agar golongan istimewa itu akan ditawarkan lebih banyak pilihan kursus di Kolej Vokasional Keningau.

Katanya, ia berikutan kebimbangan akan prestasi pelajar pekak di sekolah rendah, menengah serta mereka yang berada di sekolah vokasional dan kolej.

“Tanpa adanya pendidikan yang tinggi dalam pemberian peluang luas seperti masyarakat normal, mereka akan lebih berasa tersisih dan sukar untuk membangunkan diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Am Sabah Mohammad Noor Wahab berkata, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) akan terus memberi sokongan padu kepada setiap program yang diadakan oleh persatuan terbabit.

Menurutnya, menerusi pelbagai program yang diadakan itu, majoriti kanak-kanak pekak mudah dikenal pasti dan seterusnya meningkatkan pusat pendidikan perintis bagi golongan berkenaan.

“Sejak empat dekad lalu, SSD memulakan pusat pendidikan perintisnya untuk orang pekak di Kota Kinabalu dan kemudian di Sandakan, Keningau, Kudat dan Lahad Datu.

“Dan, kami bercadang akan membuka pusat pendidikan baharu di Tenom pada tahun ini yang mana setiap cawangan menyediakan pendidikan prasekolah sebagai pendidikan awal dan intervensi awal,” jelasnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Zulkifli Hassan.

Mohammad Noor juga menggesa Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan kelas sekolah menengah atas bagi memenuhi keperluan pelajar yang sudah selesai tingkatan tiga.

Katanya, kementerian perlu meneliti perkara itu dengan lebih serius dan dapat mewujudkan kelas berkenaan dengan secepat mungkin agar pelajar kurang berkemampuan itu mampu meneruskan akademik mereka.

“Kebanyakan pelajar pekak ini meneruskan pelajaran di sekolah teknik iaitu di Kolej Vokasional Keningau selepas mereka selesai bersekolah tingkatan tiga di SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang.

“Dengan adanya kelas itu, mereka akan dapat bersaing lebih baik sekiranya diberikan peluang mendapat kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi mencapai kerjaya mereka masing-masing,” katanya.

Hadir sama, Ketua Perniagaan Serantau Affin Hwang Capital Jayce Loh dan Penyelia Pendidikan Khas Sektor Pendidikan Swasta dan Pemulihan Khas Sabah Hasan Ibrahim.

 

 

Advertisement