Anda di sini

WRU jadi ‘ibu tumpang’ sepenuh masa

Advertisement
 Kawanan anak gajah yang diselamatkan bersama penjaga semasa sesi latihan di Sepilok Wildlife Medical Care Centre.

SEMAKIN BANYAK: Kawanan anak gajah yang diselamatkan bersama penjaga semasa sesi latihan di Sepilok Wildlife Medical Care Centre.

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menerusi Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) berasa bimbang akan peningkatan bilangan anak gajah Borneo yang diselamatkan sejak kebelakangan ini.

Pengarah JHLS William Baya berkata, berdasarkan rekod tiga tahun lepas, anak gajah kerap dijumpai berkeliaran tanpa ibu mahupun kawanan berdekatan kawasan kampung dan ladang kelapa sawit berhampiran hutan simpan.

Berikutan itu katanya, WRU terpaksa bekerja sepenuh masa menyelamat dan menjadi ‘ibu tumpang’ bagi menjaga anak-anak gajah berkenaan.

Tambahnya, kerisauan itu mula timbul ekoran populasi Gajah Borneo sepanjang tahun lalu yang dijumpai berkeliaran sendirian adalah 15 ekor yang mana kesemuanya berusia satu tahun.

“Bilangan ini sebenarnya kian bertambah yang mana tahun 2013, dua anak gajah diselamatkan, tiga pada tahun berikutnya dan pada 2015 pula, kami menyelamatkan sebanyak lapan anak gajah.

“Tahun ini, dua anak gajah lagi diselamatkan dalam bulan Februari yang mana kesemua anak gajah dari kawasan pantai timur Sabah seperti Tawau, Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan yang dikenal pasti kawasan utama konflik manusia-gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

William berkata, menerusi peningkatan jumlah kehilangan dan fragmentasi habitat gajah, laporan mengenai konflik manusia gajah semakin meningkat sehingga menyebabkan pihaknya menghadapi isu yang mencabar.

Katanya, meskipun kerja memindahkan gajah membuahkan hasil positif sejak 10 tahun lepas, kini ia bukan lagi jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah konflik manusia gajah.

“Hal ini terjadi disebabkan gajah yang dipindahkan telah mencetuskan konflik baharu di kawasan itu atau gajah yang dipindahkan kembali semula ke kawasan di mana ia mula ditangkap.

“Keadaan ini membangkitkan kemarahan penduduk setempat lantas mengambil tindakan sendiri seperti menembak dan meracun kawanan gajah di kawasan konflik,” jelasnya.

Selain itu tambahnya, cabaran lain yang turut dihadapi oleh jabatan berkenaan adalah berkaitan penjagaan anak-anak gajah yang sudah diselamatkan.

“Kami mempunyai sepasukan veterinar dan renjer daripada Unit Penyelamat Hidupan Liar yang bekerja keras sepenuh masa untuk menjaga, memberi makan dan memainkan peranan sebagai ibu tumpang bagi anak gajah malang ini.

“Kos pembelian susu formula pula adalah sekitar RM200 hingga RM250 sehari bagi seekor anak gajah dan hal ini mencatatkan angka besar bagi perbelanjaan bulanan iaitu RM40,000 hingga RM45,000 sebulan atau lebih RM500,000 setahun hanya untuk perbelanjaan penyusuan gajah sahaja,” katanya.

William berkata, angka itu tidak termasuk gaji dan elaun yang perlu dibayar kepada para pekerja yang bertungkus lumus menjaga anak-anak gajah itu siang dan malam.

Menurutnya, ia sekali gus memberikan impak tinggi kepada dana JHLS yang kian meruncing dan pihaknya menjangkakan lebih banyak anak gajah perlu diselamatkan pada masa akan datang.

“Justeru, saya menggesa kepada badan-badan korporat di Sabah malah di seluruh Malaysia yang mungkin mempunyai minat yang tulus dalam membantu JHLS membiayai penjagaan harian serta pemakanan anak-anak gajah malang ini.

“Atau, mengambil gajah sebagai ‘haiwan angkat’ sepertimana yang dilakukan oleh NGO Orangutan Appeal UK yang berpangkalan di UK terhadap orang utan di Sepilok,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah JHLS Dr Sen Nathan berkata, satu kajian saintifik mendapati penemuan membimbangkan pada jurnal atas talian (online) iaitu ‘Biological Conservation’ oleh sepasukan saintis UK dan Sabah bertajuk ‘Habitat fragmentation and genetic diversity in natural populations of the Bornean elephant: Implications for conservation’.

Katanya, gajah Borneo menunjukkan perbezaan genetik adalah rendah dan usaha melindungi serta memelihara kawanan gajah Borneo penting bagi memastikan kesinambungan populasi yang terpisah secara spatial serta mengelakkan penambahan fragmentasi dalam kalangan populasi berkenaan.

“Ditambah pula dengan trend peningkatan jumlah anak gajah yang diselamatkan kerana secara asasnya, kehadiran anak gajah untuk diselamatkan itu bermakna ibu-ibu kepada anak gajah itu dibunuh, seperti yang terjadi kepada badak sumbu Borneo yang pupus di Sabah.

“Kita tidak boleh membiarkan gajah Borneo ini menerima nasib sama dan langkah pemeliharaan habitat asal serta pembiakan terurus dalam kurungan harus diambil dari sekarang dan bukan 20 tahun akan datang,” katanya.

Advertisement