Anda di sini

Projek Berdikari beri peluang mahasiswa dapat kerja sambilan

Advertisement

BANGI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam melancarkan Projek Berdikari iaitu platform dalam talian yang memudahkan 1.2 juta mahasiswa di negara ini mendapatkan peluang pekerjaan secara sambilan.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata projek di bawah Malaysian Youth Community! (MYC!) itu menyenaraikan nama syarikat atau agensi pekerjaan yang menawarkan kerja sambilan dengan waktu kerja fleksibel menerusi laman web MYC.com.my/projekberdikari.

Katanya, projek itu diharap dapat membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup selain melatih mereka menjadi lebih berdisiplin dan berdikari, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk melahirkan graduan yang holistik.

“Selain mendapat pendapatan sampingan, mereka juga boleh mendapat pengalaman bekerja melalui program ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.

Pekerjaan yang ditawarkan melalui projek berkenaan ialah separuh masa dan sementara bagi tempoh tiga jam, tiga bulan sehingga setahun.

Terdahulu, Idris turut mengadakan sesi dialog bersama pemimpin mahasiswa institusi pengajian tinggi serta menyerahkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada wakil pemimpin mahasiswa.

Beliau berkata sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk baucar bernilai RM250 itu yang akan memberi manfaat kepada 1.2 juta mahasiswa.

Katanya BB1M akan mula diedarkan secara berperingkat bermula minggu kedua Mac depan dengan tempoh sah penggunaan sehingga 31 Jun 2016.

Mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan mahasiswa pada sesi dialog itu, beliau berkata isu kebolehpasaran mahasiswa, kerelevanan kursus yang ditawarkan pihak universiti dan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara yang paling mendapat tumpuan.

“Saya terangkan kepada mereka bahawa semua perkara itu telah cuba diselesaikan melalui rangka tindakan PPPM 2015-2025 (Pendidikan Tinggi),” katanya.

Ditanya mengenai hasrat Kementerian Kesihatan untuk melanjutkan tempoh pembekuan penawaran kursus perubatan baharu selama lima tahun lagi, Idris berkata pihaknya akan berbincang dengan kementerian mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

“Jika perlu diteruskan (pembekuan) kita akan teruskan. Mungkin pandangan itu dibuat selepas mereka membuat tinjauan,” kata Idris.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Kesihatan mungkin akan melanjutkan tempoh pembekuan yang mula dilaksanakan pada 2011 itu bagi mengatasi masalah lebihan doktor pelatih di negara ini. — Bernama

Advertisement