Anda di sini

Ditempeleng sehingga bibir berdarah

Advertisement

Tertuduh kes pencerobohan Lahad Datu dituduh lindungi anggota kumpulan pengganas

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa seorang anggota polis menempeleng muka seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu sehingga bibirnya berdarah.

Norhaida Ibnahi, 49, berkata kejadian itu berlaku selepas anggota polis itu tidak percaya selepas dia memberitahu bahawa dua individu — Datuk Amirbahar Kiram dan isterinya, yang sedang dicari polis — tidak berada di rumahnya.

“Anggota polis itu membawa saya turun dari rumah (rumah papan yang didirikan di atas kaki bajang). Dia kemudian menempeleng kedua-dua belah pipi saya sehingga bibir saya berdarah.

“Saya menangis. Anak perempuan saya menjerit dan menangis sebab dia takut. Lepas itu, mereka tangkap saya dan geledah rumah saya,” kata tertuduh dalam bahasa Suluk, yang keterangannya diterjemah oleh penterjemah mahkamah.

Norhaida membela diri atas pertuduhan secara sukarela melindungi individu yang dia tahu menganggotai kumpulan pengganas dan memilih untuk memberi keterangan dari tempat duduk saksi.

Dalam keterangannya, wanita itu berkata polis datang ke rumahnya di Kampung Sri Melor di Semporna pada pagi 22 Mac 2013, bertanyakan di mana Datu Amirbahar dan isterinya, yang meninggalkan rumah itu pada awal pagi berkenaan.

Dia memberitahu mahkamah bahawa Datu Amirbahar ialah anak lelaki Sultan Esmail Kiram dan dia dan Datu Amirbahar bersaudara di sebelah ibu.

“Apabila Datu Amirbahar dan isterinya datang ke Sabah, mereka sering mengunjungi saya dan kadang-kadang, mereka menginap di rumah saya,” kata tertuduh, yang tinggal di Sabah sebagai penduduk tetap.

Menjawab soalan peguam Majnah Abdillah, Norhaida berkata pada 1 Mac 2013, suaminya memberitahu bahawa dia (suami) mendapat panggilan telefon daripada Datu Amirbahar yang ingin datang ke rumah bersama isterinya.

Katanya apabila pasangan itu tiba di rumah, mereka memberitahunya bahawa berlaku pertempuran antara pengikut Raja Muda Agbimuddin dan pasukan keselamatan Malaysia di Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Tertuduh berkata pasangan suami isteri itu meminta suaminya mencari sebuah bot sebagai kaedah pengangkutan untuk membawa mereka balik ke Filipina.

Ditanya oleh Majnah sama ada Datu Amirbahar adalah seorang pengganas, tertuduh menjawab ‘tidak’.

“Katakanlah dia (Datu Amirbahar) seorang pengganas, kenapa kerajaan Malaysia meminta bantuannya dan membawanya ke Kampung Tanduo untuk berunding dengan Raja Muda Agbimuddin dan selepas itu, menghantar dia balik ke tempat asalnya?” tanya Norhaida.

Wanita itu memberitahu mahkamah dia memiliki nombor telefon 017-8767371 yang didaftarkan atas namanya tetapi digunakan oleh suaminya.

Dia menafikan menggunakan nombor telefon 013-6067588 yang dipintas oleh polis.

Norhaida juga menangis teresak-esak semasa dia memberitahu mahkamah bahawa ketika ditahan, dia meninggalkan ibunya yang sedang sakit, tidak dapat bergerak dan melihat, di bawah jagaan anak perempuannya, yang hanya berumur hampir 10 tahun ketika itu.

Sambil mengesat air mata, dia menyatakan perkataan terakhir yang diungkapkan kepada anak perempuannya itu ialah ‘Jaga nenek baik-baik’, dalam bahasa Malaysia.

“Jika boleh, saya mahu bebas sebab saya kasihan pada ibu dan anak perempuan saya. Saya tak tahu apa yang berlaku pada mereka,” katanya.

Tiga belas warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah kerana pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Ada antara tertuduh yang berdepan satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa orang daripada mereka didakwa secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, atau merekrut anggota atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement