Anda di sini

Tiada sebarang potongan menerusi Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip menegaskan bahawa tidak ada sebarang pemotongan menerusi Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia (BKP1M) sebanyak RM100 oleh mana-mana sekolah di negeri ini.

Katanya, bantuan berkenaan sudah diagihkan secara berperingkat-peringkat bermula 20 Jan lepas bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan awal tahun.

“Kita mahu semua pihak sekolah memainkan peranan penting dengan memastikan tidak ada seorang pun murid yang berhak menerima bantuan tercicir daripada bantuan itu.

“Sekiranya ada sekolah yang tidak melaksanakan agihan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, maka, kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Borneo di sini kelmarin.

Selain itu Jame berkata, meskipun bantuan itu masih diteruskan sehingga kini, syarat baharu telah dikenakan iaitu kelayakan adalah dari keluarga (isi rumah) ibu bapa atau penjaga haruslah berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah sahaja layak menerima bantuan berkenaan.

Tambah beliau, murid atau pelajar yang terpilih juga haruslah berstatus Warganegara Malaysia bersekolah kerajaan mahupun sekolah bantuan bagi murid tahun satu hingga tingkatan lima.

Beliau juga mengingatkan pihak sekolah agar meletakkan cop ‘telah bayar’ pada borang perpindahan murid yang ingin berpindah sekolah bagi mengelak berlakunya pertindihan agihan di sekolah baharu.

Terdahulu, bantuan berkenaan dijangka dapat dimanfaatkan kepada kira-kira 3.5 juta pelajar di seluruh Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM350 juta.

 

Advertisement