Anda di sini

Remaja dipercayai cuba bunuh diri berjaya diselamatkan

Advertisement

TAWAU: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai cuba membunuh diri berjaya diselamatkan selepas kira-kira 20 minit berada di atas roda ferris setinggi tiga tingkat di sebuah pesta ria di sini, kira-kira jam 5.20 petang, kelmarin.

Utusan Borneo difahamkan, remaja itu memanjat roda ferris terbabit sebelum berdiri sambil berteriak di atas salah sebuah gondola berwarna hijau di puncak roda berkenaan.

Usaha menyelamatkan remaja yang disyaki pekerja di pesta ria itu daripada membunuh diri dilakukan polis, anggota bomba dan penyelamat serta orang awam di lokasi kejadian.

Peniaga, Darwis Sulaiman, 47, salah seorang yang turut menyelamatkan remaja itu berkata, situasi menjadi panik sebaik remaja itu berada di puncak roda ferris terbabit.

“Saya terus berlari ke ‘fun fair’ itu sebaik mendengar bunyi siren polis dan mendapati orang ramai mula bersesak-sesak di kawasan kejadian,” katanya kepada Utusan Borneo.

Darwis berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau terus memanjat roda ferris itu sambil memujuk remaja berkenaan supaya turun dan membatalkan niatnya membunuh diri.

Bagaimanapun beliau berkata, remaja itu tidak mengendahkan suara orang ramai yang memintanya turun sebaliknya dia hanya berteriak dan berdiri di salah satu gondola.

“Keadaan itu berterusan sehinggalah polis, bomba dan beberapa orang awam termasuk saya berjaya mencapainya dan menurunkan dia ke bawah dengan selamat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, selepas diselamatkan, polis yang berada di lokasi kejadian kemudiannya membawa remaja itu ke IPD Tawau bersama ahli keluarganya.

Menurutnya, ada saksi yang memberitahu bahawa remaja perempuan berkenaan dilihat seperti berselisih faham dengan ahli keluarganya sebelum nekad memanjat roda ferris terbabit.

 

Advertisement