Anda di sini

Penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-Kanak dialu-alukan: Jainab

Advertisement

PENAMPANG: Cadangan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-Kanak dialu-alukan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak.

“Kita mengalu-alukan cadangan ini namun memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya mengharapkan kerajaan sahaja untuk membantu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sijil kepada sembilan pelatih di Puri Ratu Beauty Academy, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikan ketika mengulas lanjut terhadap cadangan UNICEF supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-Kanak yang akan membantu menyelesaikan isu kanak-kanak secara menyeluruh.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Malaysia juga mempunyai agensi-agensi yang membantu kanak-kanak namun isu kanak-kanak ini adalah isu global.

Untuk itu, beliau berharap UNICEF serta pihak lain bersama-sama untuk membantu kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak yang berkaitan.

Terdahulu dalam laporan akhbar tempatan, UNICEF Malaysia percaya bahawa penubuhan sebuah Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-Kanak adalah lebih sesuai berbanding mempunyai sebuah kementerian khusus untuk menjaga hal ehwal kanak-kanak.

UNICEF Senior Child Protection Specialist Phenny Kakama berkata, hal itu kerana penubuhan suruhanjaya itu membolehkan tumpuan terhadap kanak-kanak dapat dilakukan secara menyeluruh.

Menurut beliau, hal ehwal kanak-kanak merangkumi pelbagai sektor sama ada dalam kesihatan, pendidikan, kewangan dan perancangan ekonomi.

“Banyak negara telah pun menubuhkan suruhanjaya itu yang mempunyai mandat khusus dan tanggungjawab kukuh dalam menangani isu-isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak dalam semua sektor,” katanya.

 

Advertisement