Anda di sini

Jangan jadikan hutan simpan laluan pemasangan kemudahan utiliti

Advertisement

KOTA KINABALU: Ke arah memastikan pembangunan sedia ada bergerak seiring dengan usaha pemuliharaan hutan (konservasi), pemasangan kemudahan utiliti seperti wayar elektrik dan saliran paip tidak boleh melintasi hutan simpan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam memastikan pemuliharaan hutan terjamin, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama menteri dan exco-exco kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memberitahu mereka bahawa hutan simpan tidak boleh dijadikan laluan untuk pemasangan kemudahan utiliti.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan menteri dan agensi terlibat untuk memberitahu mereka bahawa hutan simpan kekal tidak boleh dijadikan laluan untuk pemasangan wayar, paip mahupun kemudahan lain. Ia sebagai langkah pemuliharaan.

“Mungkin mereka perlu membelanjakan sedikit wang bagi membeli tanah swasta tetapi, untuk jangka masa panjang, ia demi kepentingan pemuliharaan,” katanya ketika ditanya mengenai adakah pembangunan di Malaysia pada masa ini seiring dengan usaha konservasi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia Peringkat Kebangsaan 2016, di Tanah Lembap Kota Kinabalu (KKCW), di sini kelmarin.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi pembangunan dan pemuliharaan hutan, kebanyakan negeri melakukan usaha konservasi dengan baik namun, terdapat juga negeri yang masih perlu memperbaiki usaha konservasi yang dilakukan.

Menurutnya, jika di Sabah dan Sarawak mempunyai inisiatif Heart of Borneo (HoB) sebagai salah satu langkah pemuliharaan hutan, di Semenanjung Malaysia mempunyai Central Forest Spine (CFS).

Katanya, penglibatan dan kerjasama kerajaan negeri diperlukan kerana hutan dan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Atas sebab itu saya akan mengadakan mesyuarat bersama menteri serta exco alam sekitar kerajaan negeri seluruh negara untuk menyampaikan apa yang kementerian mahu serta dapatkan idea dan keperluan dibawah Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP21) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta keperluan untuk memelihara spesies lain,” jelasnya.

Kemudian ditanya mengenai saranan terhadap kerajaan negeri agar berhati-hati dalam mengunapakai kayu bakau dan tanah lembap, Junaidi berkata, memandangkan kayu bakau ini boleh disalahguna maka, usaha perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak disalahgunakan.

“Sekiranya kita lihat, ada pemaju yang menggunakan kayu bakau dalam membina rumah dan perkara ini menjejaskan hutan paya bakau. Oleh itu, jika kayu bakau digantikan dengan bahan lain seperti konkrit mahupun besi, ia akan membantu dalam usaha konservasi paya bakau.

“Walaupun (penggunaan kayu bakau) tidak diharamkan tetapi jika tidak digalakkan, ia jauh lebih baik. Pihak konsultan, jurutera dan arkitek harus main peranan supaya spesifikasi pembinaan rumah tidak perlu menggunakan kayu bakau,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Junaidi mengatakan bahawa dalam usaha pemuliharaan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan persekutuan memperuntukan RM75.07 juta bagi pelaksanaan HoB di Sabah dan Sarawak yang meliputi aktiviti pengukuhan pengurusan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (totally protected area), kawasan tadahan air, penubuhan kawasan koridor bagi hidupan liar serta pengumpulan data biodiversiti dalam kawasan HoB melalui ekspedisi saintifik dan penggunaan tekologi hyperspektral.

Daripada jumlah itu sebanyak kira-kira RM42 juta diperuntukkan untuk Sabah dan diharapkan peruntukan berkenaan akan terus dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan usaha pemuliharaan alam sekitar diteruskan.

 

Advertisement