Anda di sini

Peningkatan positif Ngap Sayot

Advertisement

Semua pemain beraksi dengan baik dan berjaya mendahului lawan, kata Rajagopal

// Oleh Harry Ilias //

 Pemain Kelantan, Wan Zack Haikal (kiri) diasak pemain Sarawak, Mohd Riduwan Maon (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kelantan malam kelmarin. — Gambar Bernama

DIASAK: Pemain Kelantan, Wan Zack Haikal (kiri) diasak pemain Sarawak, Mohd Riduwan Maon (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kelantan malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUCHING: Pengendali Sarawak, Datuk K Rajagobal memuji karektor pemain-pemainnya selepas berjaya mengikat skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (Kelantan) dengan 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Menurutnya, semua pemain telah pun menunjukkan mutu peningkatan positif sepanjang perlawanan untuk memastikan Sarawak mengutip mata pertama dalam saingan liga musim ini.

“Secara keseluruhan semua pemain telah bermain dengan baik di mana kita berjaya mendahului lawan sebelum kesilapan individu menyebabkan kita dibolosi dua gol.

“Namun, pemain-pemain berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada lewat permainan untuk memastikan kita mengutip satu mata berharga,” katanya mengulas perlawanan itu semalam.

Rajagobal turut berpuas hati dengan prestasi jentera serangannya diketuai Gilmar, Ndumba Makeche, Junior Aparecido dan Ashri Chuchu yang berjaya memporak- porandakan pertahanan Kelantan.

Lebih melegakan beliau, barisan penyerang Sarawak semakin menampakkan keserasian yang baik.

Menurut Rajagobal, formasi 4-1-4-1 digunakan beliau pada perlawanan itu turut menyumbangkan kepada kejayaan anak-anak buahnya mengikat Kelantan.

“Kita sedar bahawa kita tidak boleh bermain secara terbuka dengan Kelantan kerana mereka mempunyai pemain-pemain yang baik. Formasi yang digunakan bertujuan mengekang asakan tuan rumah dan nyata membuahkan hasil,” katanya.

Ndumba Makeche mengejutkan Kelantan dengan melakukan ‘turning’ di depan pintu gol sebelum merembat masuk gol pendahuluan seawal minit kelapan.

Bagaimanapun, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke- 43 hasil jaringan pemain import, Baze Ilijoski.

Baze Ilijoski meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-63 selepas pertahanan Sarawak, Davide Grassi gagal mengeluarkan bola dengan kemas di depan pintu gol.

Salah faham antara dua pertahanan Kelantan membolehkan Makeche meledakkan jaringan kedua pada minit ke-71 untuk memastikan Sarawak pulang dengan satu mata.

Sarawak akan meneruskan kempen Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Selasa ini (1 Mac).

Advertisement