Anda di sini

SAVA hantar skuad pada Kejohanan Bola Tampar Asia

Advertisement

SIBU: Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA) menghantar satu pasukan bagi menyertai Kejohanan Bola Tampar Asia Tenggara Wanita Bawah 19 tahun di Sisaket, Thailand dari 16 hingga 20 Julai depan.

Ketua jurulatihnya, Datuk Moh Wung Ming berkata tarikh pertandingan kejohanan Bangkok bagaimanapun bertembung dengan tarikh penganjuran SUKMA XVIII bagi acara bola tampar yang berlangsung di Stadium Sibu dari 16 hingga 29 Julai.

“Walaupun berlaku pertembungan tarikh namun tidak memberi kesan kepada persiapan kejohanan SUKMA XVIII kerana fokus utama kita adalah SUKMA 2016,” katanya.

Moh berkata, persiapan skuad negeri bagi acara bola tampar tidak boleh dilaksanakan pada saat akhir.

Sebaliknya, ia perlu menjadi keutamaan lebih-lebih lagi dalam usaha memenangi kejohanan tersebut bagi kedua-dua kategori iaitu lelaki dan wanita.

Menurut Moh, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) membenarkan SAVA menghantar satu pasukan wanita bagi mengambil bahagian pada kejohanan Asia Tenggara.

Katanya, kejohanan itu merupakan salah satu peluang tidak harus dipersia-siakan terutamanya kalangan pemain.

“Ia juga merupakan medan terbaik mengukur taraf permainan pemain-pemain selain memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.

Bercakap lanjut, Moh akan meneliti semula senarai pemain-pemain yang akan dipilih mewakili Sarawak pada SUKMA XVIII.

“Empat pemain utama kami iaitu Angela Tang, Ting Hui Ming, Mandy Chiu dan Ting Hui Qin kekal kembali dan melatih dengan pemain-pemain tempatan bagi persediaan ke SUKMA XVIII nanti.

“Bagi kejohanan Asia Tenggara, penyertaan dibuka kepada semua pemain pelapis dari Sarikei, Meradong, Miri dan Sibu,” tambah beliau.

 

Advertisement