Anda di sini

Pembinaan SMK Trusmadi bakal beri kemudahan kepada 15 kampung

Advertisement

KENINGAU: Pembinaan sebuah sekolah baharu SMK Trusmadi disambut baik memandangkan ia bakal memberi akses kepada 15 kampung di Mukim Lanas, Sook.

Timbalan Presiden PBRS merangkap Timbalan Ketua Bahagian PBRS Sook Arthur Joseph Kurup berkata, pembinaan SMK Trusmadi merupakan antara dasar kerajaan Barisan Nasional untuk mempertingkatkan pendidikan penduduk luar bandar.

“Pelajar sekolah menengah di Mukim Lanas tidak perlu lagi pergi jauh untuk menuntut di sekolah menengah,” katanya.

Arthur bersama pemimpin masyarakat turut melawat tapak pembinaan SMK Trusmadi di Kg Sinua, di sini.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan untuk generasi muda agar mereka tidak tercicir daripada alam persekolahan.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama padu penduduk di sekitarnya amat dihargai demi kelangsungan masa depan generasi akan datang.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pemaju Mukim Lanas Ismail Amit, Timbalan Ketua Bahagian PBS Sook Rony Rusikan dan pemimpin masyarakat Mukim Lanas Sook.

SMK Trusmadi adalah hasil usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup yang telah mengumumkan perancangan untuk mendirikan sekolah menengah itu dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 lalu.

Seluas 27 ekar tanah bakal digunakan untuk mendirikan sekolah baharu yang jadi mercu tanda sokongan penduduk kepada kerajaan.

 

Advertisement